Tidak kiralah anda mempunyai sosial media untuk mengikuti perkembangan Ustaz Ebit Lew dan apa yang dilakukannya, atau hanya mendengar cerita dari mulut orang lain - dia seorang hamba Allah yang tidak pernah penat untuk membantu.

Sesiapa sahaja yang di dalam kesusahan, sampai sahaja ke telinganya atau terbaca di mana-mana, dengan pantas dia berusaha untuk bertemu dan membantu.

Begitulah apabila dia menghadiahkan lima buah basikal yang boleh dilipat kepada lima orang penghantar makanan yang hanya menggunakan pengangkutan awam dan berjalan kaki untuk menghantar makanan.

"Best tadi saja beli 5 basikal boleh lipat hadiahkan pada 5 orang adik foodpanda. Mereka hantar makanan jalan kaki. Purata seminggu rm100-rm300.

"Muka semua rajin dan baik-baik jer. Ada seorang kakak ibu tunggal. Naik lrt datang sini. Sedih dengar latar belakang keluarga masing-masing," kongsi Ebit Lew di Instagram miliknya.

Tambah Ebit Lew, mereka ini tidak mempunyai lesen dan tidak mempunyai kenderaan sama ada motosikal atau basikal kerana belum mampu untuk membelinya.

"Mereka tiada lesen dan tiada motor atau basikal. Tak mampu beli lagi. Jadi hantar jalan kaki. Katanya mandi peluh hari-hari. Kerja sebab nak sara keluarga.

"Ada seorang lagi kakak dia dapat bulan ni rm450. Suami tukang urut dapat rm400 juga. Ada seorang adik ni tinggal dengan ibu sahaja. Ibu bapa berpisah. Selepas spm tiada kerja. Nak tolong mak.

"Katanya paling best bila dapat bagi rm500 pada mak. Baki sikit-sikit untuk makan sendiri. Aduh menangis dengar. Suka terkesan tengok anak muda rajin begini," tulis Ebit lagi.

Tambah Ebit, dia menghadiahkan mereka dengan basikal yang boleh dilipat untuk memudahkan mereka menaiki pengangkutan awam seperti LRT.

"Saya hadiahkan basikal lipat. Mereka suka senang nak bawa naik lrt. Dan ada 9 gear. Ringan nak kayuh. Special untuk mereka.

"Dan saya beri sedikit duit belanja. Buat 5 orang. Dan yang ada di situ tadi. Semoga adik ini terus kuat yer dan diluaskan rezeki," tambah Ebit lagi.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)


Ustaz Ebit Lew merupakan seorang pendakwah dan juga usahawan yang mempunyai rangkaian pakaian dan pasarayanya sendiri. Selain daripada memberi ceramah dan seminar motivasi, dia juga menulis buku dan mempunyai rangkaian restorannya sendiri.