Laman Utama
Mesej Lebih Berat & Pedas, Filem Komedi 18 Puasa Di Kampong Pisang Mampu Jentik Hati Penonton
Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan pengarah tersohor Mamat Khalid bakal menemui penonton bermula 15 April.
Diangkat daripada hasil gabungan drama Kampong Pisang Bersiri-siri dan telefilem eksklusif popular ketika bulan Ramadan, 16 dan 17 Puasa, filem 18 Puasa di Kampong Pisang masih mengekalkan subjek utama ‘tidak berpuasa’.
Menurut Mamat, penceritaan filem kali ini diangkat daripada apa yang berlaku di sekeliling kita.
“Apa yang boleh saya katakan, jalan cerita dan babak yang dipersembahkan mudah untuk penonton faham kerana ia memang berlaku di sekeliling kita atau memang terjadi pada diri sendiri.
“Sebagai manusia, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim, jadi diharap karya ini dapat mengajak penonton untuk refleksi diri lebih-lebih lagi dalam bulan mulia, bulan Ramadan,” ujarnya lagi.
Meskipun bergenre komedi, filem ini digarap dengan mesej-mesej yang lebih berat dan pedas yang mampu menjentik hati serta dapat memberikan pengajaran pada penonton.
Amat bersesuaian dengan bulan penuh barakah, 18 Puasa Di Kampong Pisang mengetengahkan mesej tersurat tentang hikmah berpuasa, zakat, fungsi Baitulmal, rukun islam, nilai murni bersedekah, solat taubat dan banyak lagi.
Sementara itu dari sudut jalan cerita, babak-babak seperti gambaran di alam neraka, skrip serta dialog yang dipaparkan sudah pasti rekaan fiksyen semata-mata bagi menyampaikan mesej islamik bagi menerapkan rasa insaf dalam jiwa penonton.
Filem ini masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).
Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.
Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.
Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.
Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.
Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Must-Watch Video