Berita
Mesra Bersama, Peminat Perempuan Luqman Faiz Serang Fieya Julia
Penyanyi baharu, Fieya Julia, 20, mendedahkan pernah diserang peminat perempuan penyanyi Luqman Faiz kerana cemburu melihat kemesraan mereka berdua.
Menurut Fieya yang popular dengan lagu Perasaanku, kemesraan mereka telah disalah erti dan peminat menyangka dia dan Luqman sedang menjalinkan hubungan istimewa.
“Saya pernah diserang peminat-peminat Luqman yang cemburu dan tidak mahu saya rapat dengan penyanyi itu.
“Saya dan Luqman sering menyanyikan lagu cover bersama dan disebabkan itu, peminat sering lihat kami berdua,” katanya kepada Gempak.
Selain lagu cover, Fieya dan Luqman pernah muncul dengan single duet lagu Raya berjudul Senyuman Syawal.
Menurut Fieya, hubungannya dan Luqman tidak lebih daripada seorang adik dan kakak, malah dia akui selesa berkawan dengan penyanyi yang popular dengan lagu Kepuraanmu.
“Saya anggap dia seperti adik saya sahaja dan saya akui dia memang manja dengan saya.
“Mungkin sifat manjanya itu yang membuatkan mereka salah anggap.
“Sedangkan Luqman memang seorang yang manja dengan semua kenalannya,” jelasnya lagi.
Fieya dan Luqman dari syarikat rakaman yang sama iaitu Aries Music Pro.
Muzik video single pertama Fieya berjudul Perasaanku telah mencapai 24 juta tontonan di dalam YouTube.
Must-Watch Video