Sekilas
- Fauziah Nawi menegaskan pelakon perlu bijak mengawal emosi supaya lakonan tidak kelihatan berlebihan.
- Beliau berkongsi bahawa lakonan yang kuat adalah apabila pelakon tahu bila harus melepaskan dan menahan emosi.
- Fauziah menambah, emosi yang tertahan dan bersahaja lebih menyentuh hati penonton berbanding ekspresi yang melimpah-ruah.
Pelakon berpengalaman, Fauziah Nawi berpendapat seseorang pelakon perlu bijak mengawal emosi ketika menjayakan sesuatu watak agar lakonan yang dipersembahkan tidak kelihatan berlebihan.
Menerusi perkongsian di Threads, Fauziah memaklumkan bahawa tindakan berlebih dalam melakonkan babak sedih, marah mahupun derita boleh menyebabkan seseorang pelakon hilang kawalan ketika menyampaikan sesuatu babak.
“Dalam lakonan, pelakon perlu belajar membezakan antara merasai emosi dengan melambakkan emosi.
“Apabila terlalu ghairah mahu menunjukkan kesedihan, kemarahan atau penderitaan, pelakon mungkin berlebihan sehingga kehilangan kejujuran dan kawalan.
“Lakonan yang kuat bukanlah apabila emosi diluahkansebanyak-banyaknya, tetapi apabila pelakon tahu bila harus melepaskan dan bila harus menahannya,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, Fauziah menegaskan bahawa sudah menjadi tugas pelakon untuk memberi rasa kepada penonton menerusi lakonan yang bersahaja dan tidak berlebihan.
“Kadangkala, emosi yang tertahan, suara yang terputus atau air mata yang tidak jatuh jauh lebih menyentuh daripada tangisan yang melimpah-ruah.
“Kerana hakikatnya, seni lakonan bukan tentang menunjukkan kepada penonton betapa sedihnya kita, tetapi membuatkan penonton merasakan kesedihan itu tanpa kita perlu menunjukkannya secara berlebihan,” tambahnya lagi.
Sumber: Threads