Sekilas
- Abby Abadi menjelaskan harga RM850 untuk majlis keagamaan anjuran Neelofa dan PU Riz adalah berpatutan kerana tempat yang selesa dan makanan bertaraf lima bintang.
- Abby menegaskan bahawa ilmu yang disampaikan dalam majlis tersebut datang dari penceramah yang berkualiti dan layak didengar.
- Beliau mengingatkan orang ramai untuk memilih majlis agama mengikut kemampuan masing-masing, sama ada hadir atau mendengar tazkirah di masjid berdekatan.
Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi tampil memberi respons terhadap perkongsian seorang netizen di Threads yang bertanya mengenai bayaran yang dikenakan pada tetamu bagi majlis keagamaan anjuran aktres, Neelofa dan suaminya, pendakwah bebas, PU Riz
Menerusi perkongsian di Threads, individu berkenaan mempersoalkan sama ada harga majlis yang bernilai RM850 itu berbaloi dengan servis yang diberikan.
Menjawab pertanyaan itu, Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Manan berkata harga tersebut berpatutan dan munsabah memandangkan tempat yang disediakan amat selesa dan makanan juga bertaraf tinggi.
“Okay sahaja dengan harga itu. Tempat yang selesa dan selamat. Makanan bertaraf 5 bintang dan mereka yang menyampaikan ilmu yang disampaikan adalah mereka yang ingin didengar,”tulisnya.
Ujarnya lagi, setiap manusia mempunyai pilihan tersendiri, maka Abby berpesan kepada orang ramai untuk mengikuti kelas atau majlis agama mengikut kemampuan masing-masing.
“Hidup kan ada pilihan. Yang mampu silakan, yang kurang mampu boleh sahaja dengar tazkirah-tazkirah di masjid-masjid berdekatan,”katanya lagi.