HIBURAN
Midnight Fusic Bakal Persembahkan Lagu Baharu Secara Eksklusif Hanya Di Konsert Solo Pertama!
Selepas 10 tahun menempa nama dalam industri muzik tanah air, kumpulan rock alternatif, Midnight Fusic akhirnya bakal mengadakan konsert solo pertama mereka, Midnight Fusic Forevermore 2025 pada September ini.
Meskipun mengambil masa sedekad untuk menganjurkan konsert solo pertama, pemain drum, Muaz Rabbani berkata, mereka tidak menganggap tempoh sedekad itu sebagai satu ‘kelewatan’, sebaliknya waktu yang paling tepat untuk meraikan perjalanan seni mereka.
“Kami tidak rasa lambat pun, malah teruja kerana ini masa yang sesuai. Ada tekanan tetapi keterujaan lebih besar sebab persiapan sudah dibuat dan sambutan peminat memang luar biasa,” ketika ditemui pada sesi Song Listening Party Midnight Fusic di Swee Lee Cafe, Rabu lalu.
Sementara itu, vokalis, Arif Kamarudin pula memaklumkan konsert tersebut bakal menjadi lebih istimewa apabila mereka akan mempersembahkan deretan lagu baharu yang belum pernah dilancarkan, sekali gus memberi pengalaman eksklusif kepada peminat yang hadir.
“Semua lagu baharu, lagu yang masih belum dilancarkan kami simpan khas untuk konsert ini supaya penonton dapat pengalaman berbeza,” ujarnya.
Midnight Fusic Forevermore 2025 akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 September ini bermula jam 8 malam.
Ditubuhkan pada 2013, kumpulan itu dianggotai Arif (vokal, gitar), Adrian Danial (vokal, gitar), Firdaus Azmi (bass) dan Muaz (dram).
OYOLLO ASIA selaku penganjur menyifatkan konsert itu sebagai sambutan ulang tahun ke-10 kumpulan berkenaan selain meraikan bakat anak muda tempatan yang berani dan relevan di peringkat global.
Sempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia, peminat boleh menikmati potongan harga RM20 untuk tiga kategori tiket, Caramel Cream (VIP), Sandiwara (Cat 1) dan Time Machine (Cat 2), dengan kod promo MFMM20 bermula 14 Ogos di laman ticket2u.com.my.
Must-Watch Video