Berita
Mikrofon Impian Bantu Selesaikan Bebanan Hutang Melalui Nyanyian
Astro dengan kerjasama Chatime Malaysia kini tampil dengan program realiti nyanyian baharu berjudul Mikrofon Impian untuk membantu masyarakat yang dibebani dengan masalah hutang.
Menurut Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, program ini merupakan inisiatif pihak Astro dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dan menyelami perasaan mereka yang terjerat dengan tanggungan hutang.
"Program ini adalah untuk menyuntik kesedaran serta membawa penonton menyelami perasaan mereka yang terpaksa melalui kesusahan dan keperitan kerana terjerat denga hutang dalam menjalani kehidupan seharian.
"Fomat asal program ini berkonsepkan pertandingan nyanyian dan ia juga dirangka bagi membantu mengurangkan beban masalah kewangan para peserta jika mereka memenangi pertandingan ini setiap minggu.
"Hadiah wang tunai yang diberikan adalah mengukut jumlah keperluan kewangan yang diminta oleh para peserta berdasarkan situasi masing-masing," katanya kepada Gempak.
Raqim berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Mikrofon Impian, di The Majapahit, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Program Mikrofon Impian akan diterajui Pak Nil sebagai hos dan menampilkan tiga juri tetap iaitu Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali yang akan mengadili para peserta.
Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod dan mereka diminta menjelaskan situasi kewangan sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri.
Setiap minggu para peserta juga akan diadili oleh juri undangan khas seperti Zamani, Elyana, Mark Adam, Elizabeth Tan, Tomok, Hazami, Salih Yaacob, Mawi dan Siti Nordiana.
Mikrofon Impian akan bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 17 Februari menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Must-Watch Video