Sekilas
- Shila Amzah percaya menyertai pertandingan membuka peluang untuk cuba perkara baru dan mengenali potensi diri melalui tekanan yang mendorong persembahan terbaik.
- Beliau menasihatkan peserta supaya bersedia dari segi mental dan fizikal serta tidak mengabaikan latihan untuk mengingat lirik dan koreografi dalam masa singkat.
- Shila menegaskan bakat sahaja tidak cukup, usaha dan kreativiti juga penting untuk membezakan persembahan di atas pentas.
Penyanyi, Shila Amzah berpendapat menyertai pertandingan dapat membuka peluang kepada seseorang untuk mencuba perkara baharu dan mengenali potensi diri.
Menerusi perkongsian di Threads, Shila berkata tekanan ketika bertanding boleh mendorong seseorang untuk memberikan persembahan yang terbaik.
“Yang best bila masuk pertandingan ini, kita akan terokai banyak benda baru mengenai diri kita.
“Apa yang sebelum ini kita sangka tak boleh buat, tiba-tiba kita boleh sebab kita kerja di bawah tekanan dan kita memang nak hasilkan persembahan yang terbaik,” tulisnya.
Dalam masa sama, Shila turut berpesan kepada mereka yang menyertai pertandingan supaya membuat persediaan dari segi mental dan fizikal.
Menurutnya, usia bukan alasan untuk berhenti belajar terutama apabila pelbagai ilmu dan rujukan boleh didapati dengan mudah menerusi internet.
“Siapa yang masuk pertandingan ini pastikan anda secara mental dan fizikal telah fit. Jangan skip bersenam dan bagi otak kita lebih cerdas.
“Nanti nak ingat lirik, susunan lagu baru dan koreografi dalam masa cuma beberapa hari bukannya mudah.
“Tak kira di umur mana pun kita, ilmu di zaman sekarang ini cuma di hujung jari. Banyak rujukan dan inspirasi yang kita boleh dapat,”pesannya.
Shila turut berpendapat bahawa bakat sahaja tidak cukup untuk membezakan seseorang peserta dengan peserta lain, sebaliknya usaha dan kreativiti juga penting untuk mewarnai persembahan.
“Yang membezakan kita dengan peserta lain bukan sekadar bakat tetapi usaha kita untuk mencantikkan lagu, kreativiti kita dan betapa fluidnya kita di atas pentas,” ujarnya.