BERITA
Mimi Rahzia Sedar Sukar Kembali Ke Industri Hiburan Dengan Saiz Badan Lebih Besar
Selebriti Mimi Rahzia yang pernah membina nama sebagai anak seni kira-kira 10 tahun lalu berkongsi kisah hidup kini selepas mengambil keputusan 'bersara' dari bidang seni.
Jelasnya, dia mengimbau kembali kisah silam apabila mencari semula artikel yang pernah menyiarkan cerita seninya menerusi Internet.
"Saya mula mencari di Internet, Instagram dan apabila saya mencari nama 'Mimi Rahzia' di Google, masih ada gambar saya yang boleh dijumpai.
"Ia terlintas di fikiran, saya berada dalam industri hiburan di Malaysia pada tahun 2007 sehingga 2009 sebelum mengundur diri. Pada masa itu, saya terima tawaran sebagai pelakon utama," katanya yang dipetik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.
Meskipun kisah itu sudah lama berlalu, Mimi tertanya-tanya pada diri sendiri apa yang akan berlaku jika dia tidak meninggalkan bidang seni.
"Saya mengundur diri tanpa memberitahu sesiapa dalam industri sebab saya fikir ia hanya sementara. Saya beranggapan hanya mengambil masa beberapa bulan untuk berehat.
"Pada masa itu, saya jatuh cinta dengan perniagaan jualan langsung. Saya percaya boleh dapat banyak duit daripada bisnes, itu sebab saya tinggal di Brunei sehingga pendapatan meningkat dan badan juga naik," katanya.
Di sebalik perkongsian cerita itu, Mimi juga menyatakan dia sedar sukar untuk kembali ke industri hiburan dengan saiz badan lebih besar dan lebih baik terus 'bersara'.
"Hampir setahun saya masih dapat panggilan untuk tawaran berlakon dan saya beritahu mereka, saya masih berehat dan berehat sehingga 8 tahun.
"Saya tidak pernah menyesal cuma tertanya jika kembali semula tapi bukan sebagai aktres. Mungkin lebih besar daripada itu dengan mengembangkan perniagaan dan terbabit dalam industri hiburan menerusi bisnes dan pemasaran," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Facebook - Mimi Rahzia
Must-Watch Video