Penyanyi yang melakar nama di Filipina dan Sabah, Min Yasmin berdepan detik cemas apabila gagal mengawal keretanya hingga tidak sengaja terlanggar kenderaan lain yang sedang keluar dari parkir di bandar Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.

Menceritakan semula kejadian terbabit, Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 33, ketika itu baru pulang dari gimnasium untuk singgah membelikan roti canai kepada suaminya, komposer Julfekar dan bapanya yang baru tiba dari Kuala Lumpur beberapa hari lalu.

"Tak pernah-pernah saya kemalangan selama memandu tapi tiba-tiba terjadi pagi semalam. Alhamdulillah Allah sayang dan lindungi saya.

"Saya terlanggar kereta orang. Ketika itu saya baru balik dari gimnasium, nak pergi belikan Abang Jul (Julfekar) dan abah saya roti canai.

"Sambil tunggu dalam kereta sekali ada kereta lain nak keluar dari parking jadi saya gerakkan kereta. Nak tekan break terperosok kaki ke dalam ruang antara pedal break dan minyak.

"Kaki tersangkut. Lagi cuba tarik, tertekan lagi minyak. Tak apalah, saya reda dengan Allah nak bagi teguran dan ujian ini," kongsinya kepada Gempak.

Kedua-dua buah kereta jenis MyVi dan Exora remuk kesan daripada insiden berkenaan namun tiada kecederaan dilaporkan.

"Alhamdulillah saya tiada apa-apa. Kereta sudah dihantar ke bengkel dan akan dibaiki dalam tempoh lebih kurang seminggu.

"Balik rumah lepas kejadian itu saya hanya menceritakan semula apa yang telah berlaku kepada keluarga. Malang tak berbau, mungkin ini sedikit teguran dari Allah. Syukur Allah sayang dan masih dilindungi," tambahnya.