"Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," demikian tegas pelakon Que Haidar mengenai tindakan segelintir artis yang mengambil kesempatan termasuk melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan pihak berkuasa.

Jelas Que, tindakan segelintir artis itu menjejaskan industri hiburan hingga ada yang menggelarkan golongan artis 'bodoh' dan 'kayangan'.

"Saya agak muak membaca banyak komen menggelar golongan artis ni kayangan sehingga boleh terlepas dari mengikut SOP, terlepas dari hukuman atau sebagainya.

"Ada juga yang menggelar golongan artis ni bodoh. Tapi itulah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," ciapnya di Twitter.



Tambah Que, SOP yang digubal bukan bukan tertakluk kepada segelintir individu sahaja sebaliknya semua rakyat harus mematuhi tanpa ada kompromi.

"Bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

"SOP adalah untuk semua. Golongan "kayangan" ni pada saya tak sepatutnya ada dan tak seharusnya wujud. Perasaan menganggap kita ni "kayangan" patut dihentikan. Pada saya kita ni semua sama.

"Lebih-lebih lagi dalam menangani virus Covid-19. Tak sepatutnya timbul isu langgar SOP. Tak mematuhi arahan/saranan kerajaan demi kepentingan diri sendiri," katanya.

A post shared by Tengku Iskhan Shah Tg. Haidar (@the_haidars)


Que akui menjadi figura awam menuntut tanggungjawab yang besar, bukan sahaja perlu menjaga tingkah laku sebaliknya harus mendidik masyarakat dengan ideologi yang murni.

"Sebagai seorang public figure, selebriti, politician atau lebih mudah saya simpulkan, seseorang yang mempunyai pengikut yang ramai, kita sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada masyarakat.

"Kita harus menjadi contoh kerana ada banyak mata yang memandang apa saja yang kita lakukan. Apa salahnya kita menggunakan platform media sosial kita yang mempunyai ribuan malah jutaan pengikut untuk sebarkan perkara-perkara yang baik. Semakin besar periuk, semakin besar keraknya.

"Semakin besar nama kita, semakin besar tanggungjawabnya. Mungkin ramai yang tidak sedar tentang akibat perlakuan kita akan memberi kesan pada yang lain.

"Mungkin ada dikalangan mereka yang betul-betul ada kecemasan yg memerlukan mereka untuk merentas negeri/daerah tetapi disebabkan perlakuan kita mereka tidak dapat merentas negeri\daerah. Atau timbul ketidak puasan hati dikalangan masyarakat membuat mereka juga ingin melanggar SOP

"Marilah sama sama kita patuhi SOP, jaga diri kita dan keluarga. Jadikan pengajaran dengan apa yang telah berlaku. Jangan diulang-ulang kesilapan kita yang boleh mendatangkan rasa marah & benci orang ramai. Tepuk dada, tanya selera," pesannya lagi.