Naib juara Hero Remaja 2021, Aqil Taqee mahu mempunyai perancangan tersendiri untuk menaikkan namanya dalam industri hiburan tanah air.

Menurut Aqil, selain menggilapkan bakat, dia perlu mendapatkan lebih jumlah pengikut di platform media sosial.

"Kita pun tahu orang nak ambil kita berlakon pun mengira aspek Instagram juga.

"Dari situ, bukan sahaja saya perlu belajar dari segi bakat, malah saya perlu naikkan juga jumlah followers di Instagram dan interaksi dengan peminat.

"Dengan cara itu, saya harap orang ramai akan melihat dan menyedari kehadiran saya dalam industri," katanya.

Tambah Aqil, dia juga mengalami sedikit perubahan hidup sejak menyertai Hero Remaja 2021.

"Berubah adalah sedikit, taklah mendadak secara tiba-tiba, antaranya sekarang saya ada peminat termasuk mereka yang tinggal di Singapura.

"Saya pun terkejut ada juga orang yang nak menyokong saya, ya lah inilah pertama kali saya merasa perkara sebegini," katanya lagi.

Hero Remaja 2021 berakhir menyaksikan Mierul Aiman diangkat sebagai Juara yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta selempang dan trofi.

Sementara tempat kedua jatuh kepada Aqil , manakala Fazziq Muqris menduduki tempat ketiga.

Pada masa sama, Aqil turut dinobatkan sebagai Hero Inspirasi manakala Syazani pula dinobatkan sebagai Hero Favourite.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!