Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan mula beroperasi sepenuhnya bermula jam 6 pagi hari ini.

Perkhidmatan laluan dari arah Stesen LRT laluan Kelana Jaya ke Ampang Park itu akan beroperasi dua hari lebih awal daripada jangkaan, selepas perkhidmatan tren berkenaan mengalami gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) sejak Sabtu lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata selepas tinjauannya menyertai sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan operasi LRT, sistem kritikal keselamatan adalah stabil tanpa gangguan.

"Saya baru menaiki tren LRT sebagai sebahagian daripada sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan. Saya amat berpuas hati dengan analisis ke atas ujian meluas yang dijalankan.

"Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik ATC dan mengisytiharkan bahawa perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya," katanya.

Tambahnya, pemantauan dari pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem berterusan.

Dalam pada itu beliau memaklumkan pampasan tiket selama 7 hari akan diberikan walaupun pemberhentian perkhidmatan adalah lima hari.

Menurutnya, pengguna yang terjejas, akan diberikan pampasan tiket selama tujuh hari walaupun pemberhentian perkhidmatan selama lima hari.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah dalam kenyataan memaklumkan bagi pengguna My50, mereka akan diberikan tambahan perjalanan percuma selama tujuh hari apabila memperbaharui pas setelah tamat tempoh.

Azharuddin berkata, pembaharuan pas boleh dilakukan bermula 21 November hingga 20 Disember ini di pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT, Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Transit Aliran Bas (BRT) dan pegawai khidmat pelanggan akan membuat pengesahan.

“Bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh di antara Isnin iaitu 14 November hingga Ahad, 20 November 2022, boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj dan pastikan mempunyai baki sekurang-kurangnya RM5,” katanya.

Sebelum ini, Prasarana mengumumkan operasi di 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung bermula 9 hingga 15 November, susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

Sumber: Astro Awani

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!