Sejak 10 tahun kebelakangan ini, penerbitan album dalam kalangan penyanyi dilihat semakin berkurangan, terutama daripada penyanyi-penyanyi baharu. Hal ini mungkin disebabkan oleh kos untuk membikin album kian meningkat dan peralihan cara pendengar menikmati muzik ke platform digital.

Justeru, tidak hairan jika hampir kebanyakan penyanyi memilih untuk memasarkan single demi single berbanding menerbitkan sebuah album penuh. Jika ada sekalipun album yang diterbitkan oleh syarikat rakaman, mungkin hanya artis-artis senior yang berpeluang untuk berbuat demikian.

Namun, lain ceritanya dengan penyanyi muda, Naim Daniel. Sungguhpun usianya dalam industri hiburan baru menjangkau lima tahun, namun, pelantun lagu Sumpah itu bakal muncul dengan sebuah album penuh pada tahun hadapan.

BACA: Naim Daniel Tercalon Dalam MTV EMA 2021, Bertanding Sebaris Lyodra, SB19 &... - "Saya Nak Menang Tapi Rezeki Allah Tentukan

“Insya-Allah, pada tahun hadapan, saya akan muncul dengan sebuah album penuh yang mengandungi 10 buah lagu. Menariknya, menerusi album tersebut, tiada lagu lama, semua karya yang terkandung di dalam adalah karya-karya baharu.

“Orang mungkin kata, kenapa saya berani menerbitkan album tatkala pandemik? Tetapi, saya rasa sudah sampai waktunya untuk saya memiliki diskografi saya sendiri, sebab album itu cop mohor kita sebagai penyanyi,” katanya kepada Gempak.

Tambah Naim, 24, sudah menjadi lumrah dalam kalangan penyanyi untuk memiliki album, lebih-lebih lagi melengkapkan sebuah diskografi.

A post shared by Naim Daniel (@naimdanielx)


“Tidak hanya menjadi penyanyi, tetapi penyanyi rakaman yang memiliki sebuah diskografi. Sekurang-kurangnya, apa yang ingin saya sampaikan boleh didengari oleh peminat. Saya juga merancang untuk menerbitkan album perdana saya itu dalam bentuk fizikal. Jadi, peminat yang selama ini menyokong kerjaya saya bolehlah membelinya kelak,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Naim juga bakal menerbitkan lagu bersama Joe Flizzow dan juga kumpulan Dolla.

“Banyak sebenarnya hal-hal menarik yang akan saya realisasikan pada tahun hadapan. Maklumlah, tahun ini semuanya tertangguh kerana pandemik. Jadi, segala perancangan di bawa ke tahun 2022,” tutup Naim.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!