Penyanyi dan rapper baru yang sedang mencipta nama, Fhan tidak merasakan dirinya terlewat untuk berkarya dalam industri hiburan meskipun usia sudah mencecah 31 tahun ini.

Menurut Fhan yang memulakan kerjaya nyanyiannya tahun lalu ini, bidang muzik sebenarnya membuka peluang kepada setiap orang untuk berkarya pada bila-bila masa.

"Bagi saya, untuk berkarya tak semestinya usia muda, berkarya bila-bila saja boleh.

"Saya mahu ekspresikan perasaan dan mesej dalam lagu untuk beri motivasi kepada pendengar dan nak beritahu apa yang berlaku di sekeliling kita, dalam erti kata lain nak mendidik menerusi lagu," katanya.

Tahun lalu, pemilik nama sebenar Muhammad Farhan Alias ini telah melancarkan dua single iaitu Bertahan pada Oktober dan Terbang Tinggi pada Disember 2020.

Difahamkan, kedua lagu tersebut memberi mesej tentang situasi yang dihadapi masyarakat iaitu pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan terbaru, Fhan kini tampil dengan single terbaru berjudul Terang.

Single ketiga yang berkolaborasi bersama Bella Iris ini mendapat sentuhan Lucka Sickta selaku pencipta manakala liriknya ditulis oleh Asyraf Nasir, Lucka Sickta dan Han Kabir.

"Single terbaru ini didedikasikan kepada semua untuk mencapai lebih baik dalam kehidupan.

"Kita harus berusaha, tetapi dalam perjalanan itu akan ada cabarannya, apapun jangan putus asa," katanya.

Single Terang boleh distrim dan didengar menerusi semua pelantar muzik digital dan video muzik boleh ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia.