Individu yang datang dari luar Kelantan diwajibkan u untuk menjalani ujian swab atau saringan sebagai langkah terbaik untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19 di negeri itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin, selepas ujian yang telah dilakukan,mereka turut akan dipakaikan gelang berwarna merah jambu.

“Selain itu, individu yang masuk ke Kelantan perlu dikuarantin selama 10 hari selain tidak dibenarkan keluar berdasarkan arahan yang telah dikeluarkan.

“Kita tidak mahu kes COVID-19 terus meningkat di negeri ini yang berpunca daripada jangkitan kluster luar,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darul Naim.

Selain itu, individu yang berhajat untuk masuk ke Kelantan juga perlu membawa surat pengesahan ujian saringan bersama surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Izani berkata, daerah di negeri ini secara keseluruhannya merupakan zon merah berikutan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 62 peratus.

“Kes-kes yang berkaitan kluster sedia ada juga meningkat kepada 18 kluster berbanding sebelum ini iaitu 14 kluster yang datang dari zon merah,” katanya lagi.

Sumber: Kosmo Online