Laman Utama

“Nak Rentas Negara Bukan Mudah, Saya Reda” – Dua Tahun Tak Bersua, Tya Ariffin Rindu Keluarga

gempak
Mya Amri
14/09/2021
08:34 MYT
Sponsor Banner
“Nak Rentas Negara Bukan Mudah, Saya Reda” – Dua Tahun Tak Bersua, Tya Ariffin Rindu Keluarga
Pelakon, Tya Ariffin merindui keluarganya di Indonesia selepas hampir dua tahun tidak bersua kerana pandemik COVID-19.
Menurut Tya, dia memahami situasi yang melanda dan bukan perkara mudah untuk merentas negara.
"Bab rindu ini sebenarnya bagai sudah kering air mata. Kerinduan itu terlalu berat. Tapi apa daya kita melawan ujian pandemik ini. Nak rentas negara, bukan perkara mudah. Saya reda," katanya yang sudah lengkap dos dua vaksin.
Berbicara mengenai kerjaya, Tya memaklumkan kini mencuba nasib dalam bidang pengacaraan.
Mengendalikan program bual bicara dalam talian berjudul Bersama Tya, ibu kepada Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa ini mahu berkongsi hal positif dan suntikan inspirasi menerusi rancangan berkenaan
"Sebenarnya, dulu di negara kelahiran sendiri, Indonesia... Saya pernah juga jadi penyampai radio. Cuma tak sempat berjinak jinak jadi pengacara.
"Untuk program ini, saya banyak melakukan semua kerja sendirian. Awalnya pasukan kerja saya yang menguruskan set program, tetapan gajet, bahan grafik dan sebagainya. Lagi pun saya sudah terbiasa buat live di Instagram, jadi tidak canggung.
"Selepas itu, pendek kata semua saya uruskan sendiri. Termasuklah menata rias diri, menentukan pakaian yang mahu dipakai. Malah tetamu atau panel jemputan pun saya sendiri yang undang.
"Lagipun mudah sebab saya bersiaran di rumah. Anak pula jam 9 malam dah masuk tidur. Jadi masa live saya tak diganggu mereka. Pembantu rumah hanya standby tekan butang live di telefon bimbit saja," katanya
Tidak hanya mengundang rakan artis dan personaliti di Malaysia, Tya atau nama penuhnya, Nurtria Wulandari Arifin ini turut mengundang selebriti dari Indonesia.
Selain itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tengku Zawiyah, Nina Ismail Sabri, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad antara yang pernah diundangnya.
"Saya fikir ketika pandemik ini ramai yang bergelut. Malah terlalu banyak hal negatif di media sosial. Setidak tidaknya perkongsian inspirasi dan positif daripada tetamu jemputan boleh menyebarkan aura baik.\
"Isu yang dikupas juga sangat dekat dengan kita. Malah ada yang bersifat semasa dan terkini. Malah saya juga tak bataskan hanya tetamu jemputan di kalangan wanita saja. Nanti tetamu lelaki pun ada. Dulu perkongsian atau motivasi saya mungkin terbatas di kalangan usahawan.
"Tapi sekarang ini, sesiapa saja yang mengikuti saya di media sosial boleh mendapat benda sama. Malah saya juga ada kumpulan telegram Tya Arifin. Menerusi saluran itu banyak juga hal dikongsi. Boleh juga ke Instagram @bersamatya," jelasnya.
Dalam pada itu, Tya juga berharap suatu hari nanti dapat mengundang wanita berpengaruh termasuk Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai tetamu jemputan.
"Dapat jemput Tun Dr Siti Hasmah jadi tetamu pasti saya akan rasa bangga. Begitu juga di kalangan figura wanita yang menjadi kekuatan pemimpin di Indonesia.
"Malah saya bercita cita mengundang tokoh pemimpin dan motivasi lain selepas ini," katanya.
Bersama Tya bersiaran secara langsung setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam di 'Instagram Live' sejak 14 Jun lalu.
Setakat ini sudah lebih 30 episod bersiaran yang kemudiannya turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di feed Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live