Bekas isteri kepada Imam Muda Syed Mohd Faris, Nur Hidayu mahu menyelesaikan urusan tuntutan nafkah anak-anaknya dengan cara baik tanpa melibatkan mahkamah.

Kata Nur Hidayu, 33, proses tuntutan nafkah anak-anaknya mengambil masa lama disebabkan mereka perlu meneliti beberapa faktor terutama melibatkan pendapatan pendakwah bebas tersebut.

"Proses ini memang akan ambil masa sebab kena juga ambil kira beberapa faktor antaranya pendapatan bekas suami saya. Kedua-dua pihak juga ada 'homework' yang perlu dilakukan.

"Setakat ini kes kami belum lagi dibawa ke bicara. Jika boleh kami mahu selesaikan perkara itu (tuntutan) di luar mahkamah dengan cara yang baik," kata Nur Hidayu kepada Gempak.

Proses sulh melibatkan tuntutan nafkah anak yang difailkan Nur Hidayu terhadap bekas suaminya itu berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Selasa.

Syed Faris atau nama sebenarnya Syed Mohd Faris Syed Roslan, 34, berkata proses tuntutan bekas isterinya terlalu drastik menyebabkan mereka perlu mengambil masa bagi perbincangan seterusnya.

BACA: Tuntutan Nafkah Anak; Syed Faris & Nur Hidayu Belum Ada Kata Putus

Sebelum ini, Nur Hidayu mendedahkan sudah berpisah dan mendakwa dikasari oleh madunya selepas Syed Faris bercadang untuk menceraikan salah seorang daripada mereka.

Nur Hidayu juga mendakwa Syed Faris hanya memaklumkan dia berkahwin lain hujung Januari lalu selepas melahirkan anak kelima mereka.

Bagaimanapun, Syed Faris enggan mengulaskan kesemua dakwaan tersebut kerana bimbang akan mengeruhkan lagi keadaan antara mereka.

Dalam pada itu, Nur Hidayu memberitahu dia juga berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan bekas suaminya itu sepanjang prosiding perbincangan tersebut.

Dalam prosiding sulh selama dua jam itu, kedua-dua pihak tidak diwakili peguam bela dan tarikh sebutan seterusnya bagi pada 24 Ogos ini.

Kisah Nur Hidayu menjadi sensasi dan perhatian warganet apabila dia membuat pendedahan diceraikan finalis program Imam Muda musim kedua pada 2014 itu selepas berkahwin kali kedua secara rahsia.

Sebelum ini Nur Hidayu diceraikan dengan taIak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini iaitu dua hari selepas menyambut ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.

Sepanjang 13 tahun berkahwin, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Sharifah Aisyah, 12, Syed Husayn, 10, Sharifah Fatimah, 5, Syed Muawiyyah, 3, dan Sharifah Safiyyah, 8 bulan.

Sepanjang perkahwinan, Nur Hidayu pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali.