Laman Utama
#NakCakapSikit: Sekolah Makin Banyak Tutup…Sejauh Mana ‘Kritikal’ #KlusterPendidikan?
Semakin hari semakin meningkat pula bilangan sekolah ditutup di seluruh negara. #NakCakapSikit dah tak senang duduk.
Al-maklumlah #NakCakapSikit ada ramai anak-anak saudara serta kenalan yang mempunyai anak kecil. Malah ada di antara mereka ini yang terlibat dengan kes aktif Covid-19 di sekolah anak masing-masing.
Semalam ribuan pelajar di 19 buah sekolah di negeri Selangor terpaksa melupakan seketika pembelajaran bersemuka apabila diarahkan tutup susulan berlakunya kluster pandemik Covid-19.
Hari ini pula 27 buah sekolah di Johor pula terpaksa ditutup setelah merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas, murid dan pelajarnya.
Sementara itu di Kelantan, semua sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pelajaran di tujuh daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan ditutup bermula 18 hingga 24 April ini.
Apabila mendengar berita seperti ini #NakCakapSikit tertanya-tanya sejauh mana kritikalnya penularan Covid-19 di institusi pendidikan? Kalau setiap hari ada sahaja kes pelajar positif (termasuk di tadika dan pra-sekolah), serius ke tak serius #klusterpendidikan ini?
Kerana ada juga komen-komen di media sosial yang #NakCakapSikit baca, mula merungut kerana ada juga sekolah anak-anak yang masih dibuka walaupun terdapat kes positif.
Bertabahlah wahai ibu bapa semua ya…Penutupan insitusi pendidikan ini sebenarnya atas budi bicara dan pertimbangan Pejabat Pendidikan Daerah/Zon masing-masing, bukan sekolah. Berhenti menyalahkan pihak sekolah.
Dalam hal ini, #NakCakapSikit rasa ibu bapa perlu sepakat jika mahu sekolah ditutup dan memohon pertimbangan Kementerian Pendidikan untuk meneruskan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Rasanya tidak ada masalah besar kerana ibu bapa pun sudah sebahagian besar menyediakan peranti elektronik buat anak-anak untuk tujuan tersebut.
Malah tiga bulan lalu kerajaan juga ada mengumumkan sebanyak 150,000 unit komputer akan dipinjamkan untuk kegunaan PdPR.
Katanya akan diagihkan selewat-lewatnya pada Februari lalu tetapi sehingga hari ini bayang pun tidak nampak.
Tetapi tidak mengapalah, mungkin ditangguhkan dahulu selepas Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah dibuka semula kan? Husnudzonlah, Ramadan ni kan...
Jadi #NakCakapSikit ni…Relevan atau tidak jika sekolah ditutup semula dan PdPR diteruskan kembali?
Atau menyokong cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) agar sesi persekolahan bergilir-gilir diperkenalkan supaya tidak berlaku keciciran pengajaran dan pembelajaran (PdP) antara pendidik dengan murid yang berdepan kekangan capaian internet?
Haaa…Pilihlah yang mana satu. Demi kebaikan anak-anak kita juga…!
Must-Watch Video