Penyanyi rap kontroversi, Namewee tampil mempertahankan filemnya menerusi sebuah hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran tersebut, Namewee berkata karya garapannya mempromosikan semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun Namewee kesal apabila ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dan menggunakan isu perkauman demi kepentingan politik masing-masing.

Tambah Namewee, filem ‘Babi’ tidak akan dikeluarkan di Malaysia meskipun telah diiktiraf dan menerima pencalonan di festival filem antarabangsa di empat negara yang berbeza.

“Filem [BABI] telah diiktiraf dan menerima pencalonan di festival filem antarabangsa di empat negara yang berbeza.

“Bagaimanapun, filem ini tidak akan dikeluarkan di Malaysia, dan kami tidak akan memohon pada mana-mana badan atau pertubuhan di Malaysia.

“Ini adalah kerana Malaysia mempunyai terlalu ramai EKSTREMIS yang tak tahu malu, suka menghasut dan sering menggunakan isu perkauman untuk mencapai tujuan politik mereka masing-masing.

“Namun, hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara unik yang berbilang kaum dan majmuk, di mana rakyat saling menghormati dan menerima antara satu sama lain,” katanya.

在台北看到到處都是電影海報了... 很開心這部禁片終於重見天日! 明天11月20日全台灣上映! 請大家多多支持黃明志電影【你是豬|BABI】. BABI EVERYWHERE in Taiwan now... Sekarang semua...

Posted by Namewee 黃明志 on Wednesday, 18 November 2020
Dalam pada itu Namewee turut menjelaskan ketika penggambaran filem tersebut, para pelakon dan krew berbilang kaum bekerja dalam keadaan harmoni.

“Semasa penggambaran filem ini, para pelakon dan krew dari setiap kaum bekerjasama bersama untuk menghasilkan karya ini.

“Inilah yang mencerminkan semangat dan perpaduan rakyat Malaysia yang sebenarnya,” ujarnya.

‘Babi’ telah tercalon dalam empat festival filem antarabangsa, iaitu Open World Toronto Film Festival (kategori pengarah terbaik dan pelakon terbaik), Around International Film Festival Berlin (Best Feature Film), International Thai Film Festival 2020 dan Taipei Golden Horse Film Festival (Best Original Film Song).

“Kali ini kita telah berjaya menempah nama di pentas antarabangsa. Ini adalah kebanggaan kita sebagai anak Malaysia! Malaysia BOLEH!!!,” tulisnya.

Filem yang mengisahkan tentang kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia pada tahun 2000 ini bakal ditayangkan di Taiwan mulai 20 November (hari ini).

Terdahulu, Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap Namewee, berkenaan poster filem terbarunya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.

Laporan polis itu dibuat Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan Mohammad Azwan Azmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini, bersama lapan wakil pemuda PN Wilayah Persekutuan.

Azwan berkata laporan polis dibuat kerana poster filem bertajuk 'BABI' itu mengandungi perkataan 'Melayu Bodoh', 'India Keling' dan 'Cina Babi'.

Bagaimanapun yang juga Setiausaha Pemuda Negara Titiwangsa dan bekas wartawan hiburan di sebuah stesen televisyen tempatan mengakui masih belum menonton filem tersebut.

“Walaupun belum lagi menonton filem tersebut tetapi sebagai seorang yang berkecimpung selama 14 tahun dalam industri hiburan dan media, saya faham apa yang cuba ditonjol olehnya.”

“Maka laporan saya berkenaan poster dahulu kerana ini secara jelas dan nyata adalah satu penghinaan dan provokasi terhadap orang melayu,” ulasnya.