Siapa sangka dalam meniti usia 37 tahun, penyanyi popular, Siti Nordiana terus melakar pelbagai kejayaan dalam bidang seni.

Bertitik tolak daripada kemenangan program Gegar Vaganza musim kedua pada 2015, graf kerjaya Siti Nordiana atau mesra disapa Nana terus mencanak naik sehingga meletakkan dirinya berada di kelas tersendiri.

Selepas kejayaan single Satukan Rasa bersama Khai Bahar sebelum ini, Nana kini muncul dengan single duet terbaru bersama penyanyi yang juga rakan baiknya, Nubhan Ahamad berjudul Sekali Lagi.

Lagu ciptaan sepenuhnya Sepet dan Nana itu menampilkan genre pop balada namun melodi yang diketengahkan adalah segar sesuai dengan pasaran muzik hari ini.

Menariknya, lagu terbitan syarikat Seventeen Eleven Music itu dilancarkan serentak dengan mini siri sebanyak tiga episod bermula 4 Januari pukul 9 malam di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Sementara episod kedua pada 11 Januari dan diikuti episod ketiga yang turut menayangkan video muzik rasmi lagu Sekali Lagi pada 18 Januari.

Nana berkata, idea menghasilkan mini siri itu adalah atas permintaan peminat selepas menerbitkan mini siri empat episod untuk video muzik lagu Angkara tahun lalu.

“Ramai peminat mahu macam konsep video muzik Angkara. Disebabkan mereka sudah lama tidak menonton lakonan di kaca TV, jadi mereka buat permintaan untuk video muzik terbaharu ini dibuat dalam konsep sama.

“Bagi saya ia sesuatu yang menarik, sekali gus dapat mengubat kerinduan peminat. Sekurang-kurangnya, tidak dapat tengok saya berlakon di TV, dalam video muzik pun okay. Dapat juga saya lepaskan rindu dalam lakonan,” katanya.

Cuba menampilkan kelainan dari sisi kebiasaannya, menerusi mini siri dan video muzik Sekali Lagi itu, Nana bertindak selaku penulis skrip jalan cerita. Malah, Nana juga terbabit secara langsung ketika proses suntingan dilakukan.

“Kalau dulu saya hanya berlakon dalam video muzik. Tapi, untuk video muzik kali ini, saya adalah penulis. Walaupun pengarah orang lain iaitu Atmin Mazid, tapi dia akan bertanya kepada saya secara keseluruhan apa yang ingin disampaikan. Begitu juga ketika proses suntingan, mereka akan tanya saya.

“Pendek kata, untuk projek kali ini sangat istimewa. Saya berasakan ini satu lagi permulaan yang bagus dalam kerjaya saya. Dalam masa sama, dapat mempelajari perkara baharu terutama kerja di belakang tabir.

“Dalam video muzik ini juga saya melakonkan watak wanita yang menjengkelkan. Banyak momen yang dipaparkan membuatkan penonton akan berasa geram. Semua ini bagi disesuaikan dengan lirik yang dihasilkan,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan Nubhan, Nana berkata bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam itu mempunyai kualiti vokal yang bersesuaian dengan lagu yang dihasilkan.

“Bagi saya Nubhan memiliki vokal yang sangat sesuai dengan lagu ini. Saya memang mencari penyanyi lelaki yang bersuara serak. Jadi, karakter vokal Nubhan ada. Lagi pula, sudah lama tidak mendengar dia menyanyi dan muncul dengan lagu baharu.

“Apabila saya tawarkan projek ini, dia kata okay selain mahu menjadikan single duet ini sebagai kesempatan untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian. Paling penting bagi saya adalah, vokal Nubhan ini unik dan ‘rare’ sebab jarang ada dalam negara kita. Jadi, saya ingin ketengahkan dalam lagu ini sekali gus memberikan warna berbeza,” katanya.

Menurut Nana, Nubhan adalah pilihan tepat memandangkan kualiti vokalnya dipersetujui beberapa guru vokal.

“Sebelum merakamkan lagu ini dan mencari pasangan duet, saya bagi Nubhan dengar dan minta dia nyanyi sedikit. Apabila dia nyanyi, semua cakap sesuai. Malah, apabila saya perdengarkan pada guru vokal, mereka juga bersetuju.

“Sejujurnya, dia memang pilihan pertama saya. Tidak tahu macam mana boleh terfikir dia. Kiranya selepas merakamkan lagu ini pada Oktober tahun lalu dan mendengarkan hasilnya, saya dapat apa yang dimahukan,” katanya.

Menurut Nana, lagu Sekali Lagi memiliki melodi yang mesra pendengar dan berharap ia dapat diterima baik seperti lagu-lagu yang dihasilkan sebelum ini.

“Kalau dengar muzik lagu ini ia sangat segar. Kali pertama Sepet perdengarkan kepada saya, ada bahagian dalam lagu ini terus menangkap telinga dan jiwa saya. Itu membuatkan saya tertarik untuk menyiapkan lagu ini.

“Jadi, saya berharap pendengar juga akan dapat merasai perkara sama. Dengar Sekali Lagi terus jatuh cinta. Saya tidak sabar menantikan reaksi dan maklum balas peminat. Semoga lagu ini akan berjaya dan pergi lebih jauh,” katanya.