Penyanyi, Naqiu menyatakan rasa teruja kerana dipilih sebagai penyanyi undangan di acara After Hours With Hetty Koes Endang (AHHKE) yang bakal berlangsung pada Februari depan.

Menurut Naqiu, peluang untuk tampil memeriahkan AHHKE adalah satu penghargaan buat dirinya yang menyifatkan Hetty sebagai idola.

“Sejujurnya saya terkejut tapi dalam masa yang sama sangat teruja untuk berkongsi pentas bersama bunda yang sebelum ini telah menjuri saya di program Gegar Vaganza sebelum ini.

“Ini merupakan satu penghargaan buat saya, syukur kerana diberikan peluang dan rezeki untuk bersama bunda sekali lagi,” katanya.

A post shared by Naqiu Mohd (@thisisnaqiu)


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Visual Print Sdn Bhd, Anis Fathiah Abd Hamid berkata Naqiu dipilih sebulat suara kerana pesona persembahannya di atas pentas yang cukup bersesuaian dengan konsep dan tema acara AHHKE.

“Kami mencadangkan beberapa nama penyanyi tempatan bagi memeriahkan lagi malam AHHKE namun nama Naqiu menjadi pilihan utama kami dan juga Bunda.

“Mungkin impak daripada persembahan Naqiu yang menyanyikan lagu Kuda Hitam pada minggu kelapan ASGV hingga diperkatakan di semua platform sosial media juga menjadi tarikan utama kepada pemilihan juara Gegar Vaganza 6 (GV6) itu.

“Malah komitmen serta kemampuan Naqiu yang terkenal dengan gerak persembahan memukau setiap kali menyanyi adalah sebab utama kami memilih dia bagi menjadi penyanyi undangan malam 24 Februari nanti,” ujarnya.

Konsert bintang legenda dari Indonesia, Hetty Koes Endang yang dianjurkan oleh Visual Print Sdn Bhd ini adalah acara julung kali yang bakal menghimpunkan 1,000 penonton berkonsepkan majlis makan malam penuh romantis secara intimasi, dekat dan peribadi bersama Hetty yang mesra disapa Bunda.

Pembabitan Naqiu yang baru saja menamatkan perjuangan 12 minggu program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) ini dipilih oleh pihak penganjur dan Hetty sendiri bagi melengkapi penganjuran konsert selama tiga jam ini nanti.

Malah, vokalis kumpulan Boboy yang sinonim dengan lagu Episod Cinta ini mempunyai penjiwaan yang sangat baik ketika menyanyi hingga seringkali mendapat pujian daripada Hetty Koes Endang yang juga juri tetap ASGV.

Naqiu bakal menyampaikan lima lagu manakala Hetty Koes Endang selaku teraju utama menghiburkan peminat dengan 10 lagu.

Lebih istimewa, Hetty dan Naqiu juga akan berduet untuk beberapa lagu yang menjadi kejutan kepada hadirin kelak.

AHHKE bermula seawal jam 8 malam dengan sajian makan malam terbaik turut menampilkan puteri Hetty Koes Endang, Afifah Yusuf selaku penyanyi undangan, Zul 2By2 atau nama sebenarnya Zulkefli Majid dan Intan Maya (bekas anggota kumpulan The Girls) pada malam konsert nanti.

After Hours With Hetty Koes Endang (AHHKE) bakal berlangsung pada 24 Februari bertempat di Grand Shah Alam, SACC.

Untuk pembelian tiket, boleh klik di web www.tix-box.com, IG @tixboxmy atau hubungi hotline di talian 017-7118945.