Laman Utama
Natasha Hudson Kahwini Sahabat Lama, Akan Menetap Di Langkawi - "Saya Pilih Tidak Berada Dalam Kehidupan Silam"
Pelakon dan usahawan Natasha Hudson telah selamat berkahwin dengan kenalan lamanya, Muhammad Harits Jasmin atau lebih dikenali dengan nama Jay Jasmin pada Ahad lalu di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Pada majlis nikah serba ringkas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan dihadiri 10 orang keluarga terdekat, pelakon filem Chermin itu menerima mas kahwin RM300 selain bertukar dulang hantaran.
Natasha juga mendedahkan dia tidak meminta wang hantaran.
Advertisement
"Dia kenalan lama saya. Kami pun tak nak bercinta lama. Keluarga sudah saling mengenali. Kami putuskan untuk mempercepatkan perkara baik ini.
"Satu perkara biarpun saya pernah melalui fasa hidup berumah tangga sebelum ini, dia sangat memahami. Saya pun memilih untuk tidak berada dalam kehidupan silam.
"Moga ikatan ini akan menuju ke satu pengakhiran yang baik. Insya-Allah," katanya.
Tambah Natasha, dia dan suami berkongsi minat yang sama dalam aktiviti sukan lasak.
"Hujung tahun lalu, saya ke Pulau Langkawi kerana menguruskan urusan pembukaan pusat memanah. Suami pula mengendalikan perniagaan luncur ombak di sana.
"Akhirnya kami jadi rakan perniagaan dalam usaha menjadikan pulau pelancongan di Kedah itu sebagai tarikan. Kini, kami jadi teman sehidup semati pula.
"Insya-Allah selepas ini, sekitar minggu depan kami akan pulang ke sana. Saya juga akan terus menetap di sana. Cuma anak saya tak ikut kerana bersekolah di ibu kota," katanya yang masih berulang-alik ke KL.
Mengenai perancangan berbulan madu, kakak kepada Tania Hudson ini menjelaskan dia dan suami belum punyai sebarang perancangan.
"Lagipun nak masuk bulan puasa tak lama lagi. Tengoklah nanti mungkin lepas raya.
"Saya pun nak kena pastikan urusan perniagaan menerusi pusat memanah di Langkawi terus berkembang," katanya yang turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Sungai Petani, Kedah, selepas Syawal nanti.
Mengenai cahaya mata, baik suami dan Natasha hanya berserah.
Natasha sebelum ini pernah berkahwin dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Foto: Natasha Hudson
Must-Watch Video