Laman Utama

Nenek Usia 71 Tahun Masih Aktif Panjat Pohon Duku - “Saya Tak Suka Duduk Berehat Dekat Rumah”

gempak
Asyikin Mayudin
25/10/2023
06:55 MYT
Sponsor Banner
Nenek Usia 71 Tahun Masih Aktif Panjat Pohon Duku - “Saya Tak Suka Duduk Berehat Dekat Rumah”
Usia sudah mencecah 71 tahun bukan satu penghalang bagi seorang nenek yang dikenali sebagai Tok Minah untuk melakukan aktiviti memanjat pokok dan memetik buah duku di kebun miliknya.
Menerusi sebuah program, Tok Minah atau nama sebenarnya Minah Omar berkata dia teruja setiap kali tibanya musim buah duku iaitu sekitar bulan September hingga November.
Malah Tok Minah masih aktif melakukan aktiviti memanjat pokok duku di kebun miliknya yang berkeluasan 1.6 hektar yang terletak di Kampung Sekayu, Kuala Berang sejak usianya 25 tahun hingga ke hari ini.
“Masa saya muda-muda dulu, saya selalu panjat pokok duku di kebun sendiri. Habis itu, saya pun ambil upah panjat pokok cari pucuk paku untuk membesarkan anak. Semua kerja saya buat. Saya tak suka duduk berehat dekat rumah, suka buat kerja,” katanya.
Menurut ibu kepada tujuh orang anak dan 17 orang cucu itu lagi, aktiviti memanjat pokok dan memetik buah duku yang paling dinantikan saban tahun.
Difahamkan, cara memetik buah duku sedikit cerewet, ia tidak boleh diturunkan menggunakan pengait sebaliknya perlu dipetik menggunakan tangan dengan penuh berhati-hati disebabkan struktur kulit duku yang sangat lembut.
Dalam masa sama, wanita yang diberi gelaran ‘Tok Minah nenek atas pokok’ itu berkata, dia pernah ditegur oleh anaknya untuk tidak lagi melakukan aktiviti yang agak berbahaya itu, namun baginya itu adalah satu bentuk kepuasan dan minat.
“Anak saya kadang kala marah juga tak bagi panjat pokok, tapi saya kata tak suka orang lain naik, biar saya panjat sendiri. Lebih puas.
“Pernah duduk Kuala Lumpur dengan anak setahun, rasa risau kadang demam. Bila duduk rumah sendiri rasa tenang dan kuat. Saya memang suka panjat pokok,” ujarnya lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live