Sekilas
- Wak Doyok menasihati Syifa Melvin supaya lebih matang dalam menguruskan masalah rumah tangga dan tidak berkongsi isu peribadi di media sosial.
- Wak Doyok menegaskan urusan rumah tangga sepatutnya diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan orang luar.
- Syifa dan adik-beradiknya memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka yang mengaibkan bekas adik ipar dalam siaran langsung media sosial baru-baru ini.
Ikon fesyen dan pelakon, Wak Doyok menitipkan nasihat kepada kakak pempengaruh, Syida Melvin iaitu Syifa Melvin agar lebih matang dalam mengendalikan masalah rumah tangga dan tidak menjadikan platform media sosial sebagai tempat untuk berkongsi masalah peribadi.
Menerusi perkongsian di media sosial, Wak Doyok berpendapat urusan rumah tangga seharusnya diselesaikan secara tertutup kerana orang luar tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam sesebuah keluarga.
“Sebab itu urusan rumah tangga dalam rumah sahaja tahu. Orang lain tidak boleh tahu apa yang keluarga hadapi.
“Itu tandanya kamu belum matang dalam kehidupan dunia. Bila perniagaan dah melingkup baru nak kembali pada fitrah Nya,” tulis Wak Doyok sebagai komen balas terhadap kenyataan permohonan maaf Syifa pada Selasa.

Tambah Wak Doyok, setiap individu mempunyai masalah tersendiri dan tidak seharusnya meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada masyarakat apabila sesuatu perkara menjadi perhatian umum.
“Dan jangan salah kan masyarakat atas apa yang berlaku sebab punyanya dari kamu juga.
“Semua orang ada masalah tapi jangan masalah itu dipaparkan di sosial media. Dunia tipu-tipu, dunia khayalan, dunia impian,” coretnya.
Terdahulu, Syifa tampil memohon maaf secara terbuka kepada bekas adik iparnya, Shafiq Shaheen susulan tindakan dia dan adik-beradiknya yang dikatakan mengaibkan usahawan itu ketika siaran langsung di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Threads, Syifa mengakui dia bersama adik-beradiknya gagal mengawal emosi ketika berdepan kemelut membabitkan Syida dan bekas suaminya itu.
Selain Syifa, adik bongsu mereka iaitu Melveena Melvin juga turut membuat kenyataan permohonan maaf pada hari yang sama.