Laman Utama

“Netizen Akan Menegur Kalau…” - Annuar Musa Komen Isu Artis Berkelakuan Kurang Senonoh, Berharap Penggiat Seni Berkarya Mengikut Kesesuaian

gempak
Asyikin Mayudin
18/10/2022
21:55 MYT
Sponsor Banner
“Netizen Akan Menegur Kalau…” - Annuar Musa Komen Isu Artis Berkelakuan Kurang Senonoh, Berharap Penggiat Seni Berkarya Mengikut Kesesuaian
Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yakin bahawa ramai artis Malaysia yang mempunyai disiplin dan tidak akan melakukan perkara kurang senonoh.
Malah Annuar Musa beranggapan selebriti yang melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan norma masyakarat akan menerima teguran daripada netizen.
“Secara umumnya, saya percaya artis-artis di Malaysia sangat faham dan saya berpandangan ramai artis Malaysia berdisiplin.
“Mereka sendiri tahu kalau mereka lakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan norma masyarakat, netizen akan menegur mereka dengan sendirinya.
“Jadi, tidak perlu terlalu bimbang… kita kena beri peluang kepada artis-artis kita untuk beraksi dan mereka sudah tentu akan mengambil kira perkara-perkara tersebut,” katanya kepada Gempak.
Annuar yang ketika ditemui di majlis sidang media Anugerah Seri Angkasa 2022 turut menasihati para penggiat seni untuk berkarya mengikut kesesuaian acuan negara.
“Jangan terlalu paranoid, jangan terlalu menilai dan dalam pada masa sama, saya nasihatkan pada penggiat seni dan artis negara kita berkarya tidak semestinya melanggar tatasusila.
“Kita masih boleh berkarya dalam suasana penuh bertamadun dan beretika tinggi mengikut yang sesuai dengan acuan negara kita.
“Saya percaya tiada masalah pada artis-artis dan selama saya duduk di sini (dalam kementerian), saya tak berdepan dengan masalah artis kita tidak berdisiplin,” ujarnya lagi.
Tambah Annuar lagi, ramai artis yang menyedari kesilapan mereka dengan cepat dan memohon maaf sebelum dipanggil oleh pihaknya.
“Ada satu, dua kes yang mereka tersasul… saya tengok mereka minta maaf awal-awal. Belum sempat saya panggil lagi, mereka dah mengaku sendiri.
“Maknanya tahap kesedaran mereka sangat baik. Jadi, masyarakat perlu hargai itu. Kita semua manusia, ada kala kita salah buat penilaian atau buat silap, jangan terlalu besarkan benda itu. Dunia seni ini memang begitu dan kita boleh beri nasihat yang baik.
“Saya sendiri pernah panggil, satu… dua pihak tertentu kerana ada perkara yang tak berapa sesuai dan kita beri nasihat. Bukan saja artis tapi stesen televisyen juga,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live