Nampak sama tapi bukan dia, gadis ini tidak menyangka wajah solekan mirip Neelofa mendapat perhatian wargamaya dan tular di laman sosial Twitter.

Bagi Nur Afina Balqis Shahrolizam, 20, percubaan adiknya memuat naik video solekan mirip Neelofa sehingga mendapat respon pengacara itu sangat mengujakan.

“Selama saya hidup, hanya ada segelintir sahaja yang kata saya ada iras neelofa. Saya menafikan perkara tersebut sehingga satu hari saya sengaja melakukan video TikTok dan membuat makeup look seperti wajah kak Neelofa dengan berlatarbelakangkan chat yang telah saya screenshot daripada rakan-rakan saya mengenai iras wajah saya seperti neelofa.

“Perasaan saya pada masa itu sangat teruja dan terkejut. Saya tak pernah terfikir untuk kak Neelofa ulang kicau dan memberikan respon pada kicauan milik adik saya. Dan saya juga tak pernah berniat untuk orang mengenali saya sejauh ini,” kata Afina kepada Gempak.



Malah, Afina turut mengidolakan Neelofa serta sangat meminati Neelofa sebagai ikon hijab dan ahli perniagaan berjaya.

“Pada saya, kak Neelofa adalah seorang yang independent, berkaliber, cantik malah humble melayan peminat-peminatnya. Saya turut menggunakan kak Neelofa sebagai contoh di dalam tugasan keusahawanan saya sebagai contoh untuk saya ikuti,” ujar gadis asal Negeri Sembilan ini.

Walaupun menerima pujian daripada Neelofa, Afina turut mendapat kecaman daripada wargamaya yang menggelarnya sebagai ‘klon Neelofa’.

“Saya banyak terima kecaman yang teruk dari warga internet. Tapi saya terima dengan hati yang terbuka kerana bagi saya itu adalah perspektif masing-masing.



“Saya tidak mengambil serius hal ini kerana tujuan saya membuat video tersebut juga dengan tujuan suka-suka.

“Jadi, saya tiada masalah dengan kecaman orang luar terhadap saya selagi saya ada keluarga dan rakan rakan yang masih boleh terima keadaan saya,” balas Afina lagi sebagai penutup.

Terdahulu, video TikTok Afina mirip Neelofa telah menerima hampir 750,000 tontonan daripada warga Twitter.