Hiburan

“Nidza Afham Perbaiki Solat & Mahu Jadi Imam” - Abang Allahyarham

gempak
Khairil Khusyairi
16/08/2024
02:44 MYT
Sponsor Banner
“Nidza Afham Perbaiki Solat & Mahu Jadi Imam” - Abang Allahyarham

Abang sulung kepada Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar berkongsi arwah membuat perancangan pelaburan sebagai persediaan kahwin.

Menurut Mohd Nidza Irfan Mokhtar, 33, adiknya itu juga menunjukkan perubahan dengan memperbaiki solatnya sebagai persediaan menjadi seorang imam.

“Selepas dia bekerja dengan saya dia ada bertanya di mana mahu simpan duit untuk pelaburan.

“Saya melihat di laptop dia ada satu fail khas yang menunjukkan makna-makna dalam solat. Jadi kemungkinan arwah nak mula belajar khusyuk dalam solat,” katanya.

Irfan berkata demikian selepas proses pengebumian Allahyarham Nidza Afham yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah, Puncak Alam.

Menyifatkan Allahyarham seorang yang ringan tulang, Irfan dan ahli keluarga lain reda dengan pemergian Allahyarham.

“Dia tidak pernah berkata tidak. Jika Nidza Afham tidak mampu atau tidak boleh membantu, dia akan kata saya sibuk.

“Dalam kalangan adik-beradik, dia ni penghibur, bukan sahaja sering buat kami gelak dan dia juga suka ‘tambah minyak’ bila bergurau bersama,” luahnya.

Nidza Irfan berkata, Rabu lalu adalah perbualan mereka terakhir sewaktu mesyuarat dalam talian berkaitan perkembangan kerja.

“Tidak boleh nak bayangkan dalam kata-kata sebab dia sudah pergi. Sebagai abang, saya cuma nak dia ada hidup lebih baik kerana saya dah hadapi macam-macam dugaan dalam kehidupan.

“Pada saya , dia tidak perlu ulang apa yang saya lalui selama ini dan saya harap dia dapat hidup lebih baik,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham Nidza Afham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah, Puncak Alam, pada jam 6.30 petang Khamis.

Penuh hiba, pengebumian Allahyarham berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 400 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara dan rakan terdekat.

Jenazah sebelum ini dimandi dan dikafankan di Unit Jabatan Forensik, Hospital Shah Alam sejurus selesai proses bedah siasat.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Puncak Alam untuk disolatkan.

Terdahulu, Afham yang aktif membuat persembahan dilaporkan hilang selepas keluar berjogging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri pada Selasa malam.

Teman wanita mangsa kemudiannya mengesan telefon bimbit mangsa berdekatan jambatan Sungai Klang selepas gagal dihubungi.

Susulan itu, keluarga mangsa bergegas ke tempat kejadian turut menemui telefon bimbit dan dompet milik mangsa.

Pada Rabu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang kira-kira jam 7 malam tadi adalah Nidza Afham.

Mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan berkenaan.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024