Laman Utama
Nik Abduh Akui Ramai Marah Dan Minta Mohon Maaf – “Cadangan Kekal Cadangan, Viral Bukan Panji Kebenaran”
Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz akui pandangannya mengenai cadangan mengibarkan bendera putih mengundang kecaman netizen.
Menerusi hantaran di akaun Facebooknya, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu mengetahui ramai yang marah dan meminta beliau memohon maaf mengenai kenyataannya sebelum ini.
Bagaimanapun tegas Nik Mohamad Abduh, masing-masing berhak mempunyai pandangan dan cadangan sendiri.
“Ramai marah dan minta saya memohon maaf. Pandangan ramai adalah satu pandangan yang diterima ramai.
“Pandangan kedua adalah pilihan saya. Tulisan saya sentiasa tegar untuk mengajak rakyat Malaysia berfikir secara dalam dan teliti.
“Ia demi kesejahteraan negara. Seruan saya, lawan Covid-19 dengan kesatuan, doa dan usaha yang berterusan. Atau mudahnya, lawan Covid-19 dengan cara anjuran agama.
“Cadangan kekal cadangan. Ia bukan menjadi kebenaran hanya kerana viral. Siapa pun berhak menolak cadangan. Yang ditegah adalah menolak kebenaran.
“Viral bukan panji kebenaran. Sebahagiannya kebaikan dan bagus sekali. Dan saya sentiasa yakin, sebahagian besarnya adalah hasutan dan tipu daya iblis.
“Ia mendorong kenistaan, kebencian dan perlecehan terhadap sesama insan. Janganlah ketika Allah menurunkan bencana Covid-19, Allah mengangkat akhlak, adab dan susila daripada kita semua,” coretnya.
Sebelum ini, kenyataan Nik Mohd Abduh yang berpendapat rakyat tidak sepatutnya diajar untuk mengangkat bendera putih, sebaliknya mereka perlu sentiasa berdoa supaya mendapat pertolongan daripada Allah SWT dalam segala hal.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kempen bendera putih yang dicadangkan rakyat untuk membantu mereka yang berdepan masalah kekurangan bekalan makanan sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh awal Jun lalu.
Terdahulu, rakyat Malaysia tampil dengan satu kempen yang dipanggil #BenderaPutih di platform media sosial bermula semalam.
Inisiatif itu bertujuan untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik terutamanya yang putus bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera sekaligus mendapat sokongan dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, kenyataan beberapa individu yang kurang bersetuju dengan kempen berkenaan mengundang rasa tidak puas hati netizen.
Must-Watch Video