Laman Utama
Nikahi Watie Demi Anak-Anak, Shuib: “Kalau Saya Pilih Diri Sendiri, Saya Masih Membujang”
Pelawak dan hos radio Suria FM, Shuib, mengakui selamat bertunang dan akan menikahi Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah,35, pada 23 Jun 2023 ini demi anak-anaknya.
Kata Shuib, 39, sebagai seorang bapa tunggal kepada empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan berusia setahun lima bulan dia sentiasa meletakkan anak-anaknya sebagai yang paling utama.
“Saya pernah melangkah sebagai suami, duda dan kini tunangan orang.
“Saya niat untuk anak-anak dan keluarga (perkahwinan) saya. Sebab menjadi seorang bapa (duda) bukanlah mudah. Anak-anak saya kecil lagi, 12, 10, 8, dan setahun lebih. Memang tak mudah tak mudah.
“Jadi saya pilih anak. Kalau saya pilih diri sendiri, saya rasa saya akan terus membujang. Kalau saya pilih diri sendirilah,” akui Shuib dalam pertemuan bersama media pada majlis Rumah Terbuka FYP X Indigital di Bangsar, malam tadi.
Perkahwinan baru yang akan dibina ini juga sebagai menunaikan hasrat arwah isterinya, Siti Sarah agar anak-anak dibesarkan dengan sempurna.
“Kalau contoh saya, ada kawan tanya kenapa kahwin lagi mungkin bujang lebih senang, tapi saya ingat pesan arwah.
“Arwah mahu saya besarkan anak-anak dengan cara paling baik, saya perlu ada orang bersama saya. Saya sedar diri saya sedar kemampuan saya,” katanya lagi.
Shuib juga mengaku sebelum mengambil keputusan besar dalam dirinya, dia duduk berbincang dengan anak-anak dan mendapatkan persetujuan daripada mereka.
“Walaupun anak-anak saya kecil, tapi saya rasa mereka cepat sikit dewasa. Saya bincang dengan anak-anak. Uwais yang paling tua, jadi dia yang terakhir beri persetujuan,” katanya lagi.
Shuib dan Watie selamat bertunang pada Sabtu lalu. Shuib kehilangan isterinya, penyanyi Siti Sarah pada Ogos 2021 yang meninggal dunia kerana jangkitan COVID 19.
Must-Watch Video