Pelakon Nikita Willy telah selamat melahirkan anak sulung hasil pernikahannya dengan Indra Priawan pada 8 April 2022.

Hal yang menjadi sorotan media adalah lokasi atau hospital tempat bintang Indonesia ini melahirkan bayi lelakinya bukan di negara sendiri sebaliknya jauh di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Malah, tempat bayi dengan berat 3.25 kilogram ini dilahirkan adalah hospital yang pernah menyambut kelahiran banyak anak selebriti terkenal Hollywood termasuk Kim Kardashian, Beyonce dan Victoria Beckham iaitu Cedars-Sinai Medical Center.

Khabar Nikita telah selamat bergelar seorang ibu diumumkan oleh ibunya, Yora Febrina.

Dia juga mendedahkan nama unik bayi dari pasangan yang menikah pada tahun 2020 lalu.

"Selamat datang cucu tercinta ISSA XANDER DJOKOSOETONO lahir dengan berat 3.25 kg pada hari Kamis 7 April pukul 23.49 waktu L.A atau hari Jumaat tanggal 8 pukul 13.49 WIB," tulis Yora seperti dilaporkan Kompas.com.

Yora kemudian memberitahu cucu lelakinya itu akan dipanggil dengan nama Baby Izz.

Kepada media, Yora juga mengatakan suami Nikita berada dalam bilik persalinan sepanjang isterinya bertarung melahirkan anak sulung mereka.

Terdahulu, Nikita memberitahu memilih ‘menetap sekejap’ di Los Angeles sekaligus melahirkan anaknya di hospital tersebut kerana ia memiliki fasiliti terbaik dalam kebanyakan hospital lain.