Bagi segelintir pemandu, bukan hanya jenis kenderaan yang menjadi keutamaan tetapi nombor plat yang didaftarkan terhadap aset kesayangan juga dititikberatkan.



Maka tidak hairan apabila setiap kali Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ia menerima sambutan hangat dalam kalangan pembida.

Terkini, JPJ yang membuka bidaan nombor pendaftaran FF menerusi sistem JPJeBid turut merekodkan catatan bidaan yang memberangsangkan apabila menerima sekitar RM34 juta keseluruhannya.

Dan nombor pendaftaran FF8 menerima bidaan tertinggi dengan nilai mencecah RM1 juta atau angka tepatnya adalah RM950,000, seperti dilaporkan paultan.org.

Nombor plat kedua yang menerima bidaan tertinggi dengan harga RM911,999 pula adalah FF9. Ia diikuti dengan nombor plat FF3 yang bernilai RM639,000, FF2 (RM638,000) dan FF7 pada pembelian sebesar RM633,000.

Sementara itu, FF199 menjadi nombor plat paling popular dengan sebanyak 34 bidaan ke atasnya diikuti FF51 dengan 32 pembida dan FF155, FF555 serta FF1688 – masing-masing dibida oleh 29 orang pembeli.

Bidaan pada nombor plat FF melibatkan sekitar 34,032 pembida yang berlangsung antara antara 14 hingga 19 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dipetik berkata kepada Berita Harian nombor plat FF begitu diminati.

“Siri FF amat diminati kerana trend yang dikenal pasti ialah orang ramai sangat meminati (nombor pendaftaran) yang abjadnya sama. Malah, siri FF ini amat diminati pemilik kenderaan Ferrari,” ujarnya.