Laman Utama

Nyanyi Dalam Hujan, Berkhemah Layan Muzik! Ini Kisah Menarik Serumpun Berpesta Di TAPAUfest 2022!

gempak
Amri Hassan
01/11/2022
17:58 MYT
Sponsor Banner
Nyanyi Dalam Hujan, Berkhemah Layan Muzik! Ini Kisah Menarik Serumpun Berpesta Di TAPAUfest 2022!
TAPAUfest 2022 melakar kejayaan sendiri apabila menerima lebih 3,000 pengunjung di lokasi warisan UNESCO, Tasik Raban, Lenggong, Perak hujung minggu lalu.
Pengunjung dari pelbagai latar mengisi masa dengan bersantai, berkhemah, menikmati keindahan alam sambil melayan keunikan muzik.
Pengasas dan juga pengarah TAPAUfest, Ahmad Faris berpuas hati dengan sambutan yang diterima tahun ini.
"Sambutan terhadap TAPAUfest tahun ini adalah amat positif. Daripada pengunjung festival, musisi jemputan tempatan dan antarabangsa serta komuniti indie secara amnya, dapat merasakan suasana yang baik walaupun sudah pasti ada ruang untuk penambahbaikan, kami amat berbangga kerana semuanya bersatu.
"Adalah satu penghormatan besar untuk mempunyai Majlis Daerah Lenggong sebagai penyokong kami. TAPAUfest tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan CENDANA yang benar-benar menunjukkan kepercayaan mereka kepada komuniti indie sekali lagi!" ujarnya.
Apa kata Gempak kongsikan perjalanan menarik sepanjang TAPAUfest 2022.
- Sebaik sahaja kaki melangkah pintu masuk, pengunjung akan terus merasai suasana sebuah festival dengan bunyian muzik yang dipancarkan dari pasar ‘PASAR SERBA SERBI’.
- Konsep tersebut diinsipirasikan dari Woodstock dengan dipenuhi khemah yang dihiasi dengan warna-warna pop. Di ‘PASAR SERBA SERBI’, terdapat jualan pakaian terpakai, rilisan fizikal, karya seni dan kraf selain selekta muzik daripada DJ kolektif Disko Santan.
- TAPAUfest juga dipenuhi dengan aroma menyenangkan yang datang dari reruai ‘WARUNG’, yang menyajikan pelbagai pilihan makanan jalanan tempatan. Sebut sahaja, dari keropok lepok ke teh tarik, dari burger Ramly ke ayam penyet, pastinya enak untuk dinikmati oleh semua orang.
- ‘BENGKEL & LAYAR bersama KAKISENI’ menyampaikan sedikit ilmu kepada pengunjung melalui sesi seperti ‘Unravelling Lenggong’ oleh Khairul Ameer (Majlis Daerah Lenggong) dan bengkel seperti ‘Wayang Kulit for Dummies’ dan tayangan filem pendek.
- Tepat jam 5 petang, pengunjung festival tertumpu ke "PENTAS" dengan kerusi khemah mudah lipat dan tikar berkelah untuk bersiap sedia menikmati pemandangan tasik dan pergunungan, sebelum menyaksikan persembahan musisi indie terbaik dari rantau ini seperti tema yang dibawakan #SerumpunBerpesta.

Nyanyi dalam hujan!

- Pentas dibuka dengan persembahan yang memukau oleh .Feast dari Indonesia, sebagai tanda perkenalan mereka kepada penonton Malaysia secara langsung buat pertama kalinya.
- Seterusnya, Margasatwa menyampaikan runut bunyi begitu sempurna dengan pemandangan matahari terbenam nan indah di Tasik Raban sebelum memberi laluan kepada waktu rehat Maghrib.
- Persembahan malam itu dimulakan dengan Abangsapau dari Singapura yang bukan sekadar penyanyi rap, tetapi juga seorang pencerita dengan mesej-mesej tentang menangani rasa tidak selesa dengan tubuh badan sendiri.
- Seterusnya, The Times membuat penonton melompat dan menyanyi bersama-sama dengan lagu-lagu indie rock mereka sebelum The Pinholes dari Singapura mengambil alih.
- Baru sahaja Salammusik hendak masuk ke pentas, hujan renyai mula membasahi, memberikan suasana terbaik untuk persembahan penutup yang epik untuk hari pertama TAPAUfest dengan semua orang bangkit dari kerusi mereka untuk menyanyi dan menari dalam hujan sebagai meraikan kecintaan mereka terhadap muzik, seni dan alam semula jadi.
- Alunan muzik kemudiannya diteruskan sehingga larut malam dengan peserta perkhemahan di "Tapak Perkhemahan Santuy" menikmati persembahan akustik di tepi api diiringi kopi dan berbual.

Hari kedua

- Keesokan paginya, bikepackers di "Outsiders Campout", berangkat ke air terjun di Lata Perahu, salah satu tarikan di Lenggong. Pengangkutan ulang-alik juga membawa peserta perkhemahan ke Lata Kekabu dan Rumah Ayah An Rusa.
- Mengekalkan nuansa hari pertama, Kungfu Heidi menyampaikan persembahan energetik dengan gabungan hardcore dan hip hop diiringi Serbuk Cheese. The Dare kemudian membawa gelombang twee pop tropika dari Lombok ke Lenggong memberikan satu lagi detik bermakna untuk pengunjung festival sambil menyaksikan matahari terbenam.
- Persembahan malam dimulakan dengan The Filters menyampaikan persembahan begitu kemas dan tersusun selain aksi mereka di belakang pentas menghangatkan lagi suasana malam itu.
- Sobs dari Singapura kemudiannya mengambil alih pentas dengan mempersembahkan lagu kegemaran ramai serta lagu-lagu dari album baharu mereka "Air Guitar" sebelum Sweetass muncul dengan bunyian fuzz-grunge diatas pentas TAPAUfest.
- Ketika orang ramai mula berkumpul di hadapan pentas, dapat dirasakan segala aura dan tenaga untuk menantikan kemunculan Hindia. Jelas sekali kumpulan dari Jakarta itu tidak mengecewakan. Hindia menyampaikan persembahan meliputi 12 trek yang menarik dan mengasyikkan.
- Baskara Putra, penulis lagu dan frontman Hindia memadankan tenaga penonton selain menunjukkan mengapa dia dianggap sebagai salah satu kemunculan terbaik di rantau ini.

Penutup Zainal Abidin

Muzik TAPAUfest 2022 - serupa dengan banyak festival utama yang berkaliber – dipenuhi para belia penuh semangat.
Namun, ia lebih daripada sekadar hiburan, kerana kumpulan seperti The Dare memberikan kesedaran mengenai serangan seksual dengan sepanduk merah jambu terang, Kungfu Heidi bersama Serbuk Cheese menyampaikan keadilan sosial dalam lagu mereka, Salammusik menggunakan reggae dan ska sebagai wadah untuk berbicara mengenai sosiopolitik, sementara Hindia mempromosikan kasih sayang, cinta dan perhatian melalui muzik mereka.
Ini adalah nilai tambah untuk pengunjung dalam membentuk generasi masa hadapan yang lebih baik.
Setelah persembahan berakhir pada malam minggu penuh bintang di langit Tasik Raban, lagu ‘Hijau’ oleh Zainal Abidin dimainkan untuk pengunjung mengambil sedikit masa melakukan pembersihan di kawasan sekeliling bagi memastikan segalanya dijaga dengan baik.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024