Kumpulan The Gadys menerima kritikan daripada orang ramai susulan video nyanyian sumbang mereka pada Anugerah KNKV Viral 2024 menjadi tular, baru-baru ini.

Video yang tular di sosial media itu memaparkan The Gadys dilihat bergelut untuk menyanyikan lagu medley Cintaku Sampai Ke Ethiopia nyanyian asal Ria Resty Fauzi, Cinta Sampai Mati (Raffa Affar) dan Gadis Dan Bunga (Rahimah Rahim).

Vokal mereka yang kurang memuaskan mengundang kecaman daripada netizen yang rata-rata melemparkan komen berbaur negatif mengenai kualiti persembahan mereka.

Bagaimanapun, memetik laporan daripada Berita Harian, menurut wakil pengurusan, Universal Music Malaysia & Valient Music berkata, anggota kumpulan itu menerima kritikan dengan tenang dan mengakui kesilapan mereka."The Gadys tenang berdepan dengan kritikan dilemparkan, mereka baca komen, tetapi memilih tidak panjangkan.

"Mereka akui kesilapan dan akan berusaha memantapkan vokal. Mereka ada mengikuti kelas vokal, tapi dengan apa yang berlaku, mereka akan tingkatkan lagi Latihan,” katanya.

Difahamkan kesilapan teknikal menjadi salah satu faktor yang mengganggu persembahan The Gadys pada hari berkenaan.

Namun, pihak mereka tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya mengakui kesilapan sendiri dan berharap agar orang ramai memberi peluang kepada kumpulan itu memperbaiki kualiti vokal mereka.

"Cuma, apa yang berlaku sebenarnya membabitkan sedikit kesilapan teknikal. Sebenarnya mereka berlatih menggunakan minus one berbeza dengan 'key' lebih rendah.

"Bagaimanapun, pada hari kejadian, produksi menggunakan minus one mereka dengan 'key' lebih tinggi. Apapun, kami tak menyalahkan pihak produksi dan mengakui kekurangan The Gadys," kata wakil pengurusan.

"Bukan kata mereka tak nak nyanyi lagu orang lain, tetapi kalau boleh biarlah diberikan tempoh lebih lama untuk berlatih supaya benar-benar bersedia.

"Tiga hari sebelum itu mereka ada buat persembahan di Konsert Hari Radio dengan live band, tapi persembahan lancar, mungkin orang ramai boleh cari dalam YouTube untuk bandingkan.

"Apapun, kami tak salahkan sesiapa dan memang kesilapan daripada pihak kami sendiri.

"Namun, kami harap janganlah terus mengkritik sebaliknya berilah peluang pada The Gadys untuk perbaiki mutu nyanyian," kata wakil pengurusan tersebut kepada Berita Harian.

Artikel Berkaitan: “Meleleh Taik Telinga, Macam Ni Pun Boleh Lepas”- Persembahan The Gadys Tarik Perhatian…

Sebelum ini Gempak pernah melaporkan komposer lama, Julfekar sempat meluahkan rasa kecewa dengan mutu persembahan kumpulan terbabit menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.

Untuk rekod, The Gadys dianggotai ole Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera.

Sumber: Berita Harian.