Bakal penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) disarankan agar tiba di lokasi berkenaan antara 15 minit dan 30 minit dari masa yang ditetapkan.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia bagi mengelakkan kesesakan di PPV berkenaan susulan daripada kehadiran awal.

Jelas badan tersebut lagi, orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta petugas, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Mohon bersabar dan sentiasa amalkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka sepanjang proses vaksinasi.

"Sila beredar daripada perkarangan WTCKL sejurus selepas menerima vaksin dan elakkan berada di kawasan PPV terutamanya di kawasan lobi bagi mengelakkan kesesakan," demikian menurut kenyataan tersebut.

BACA: Polis tingkatkan kawalan di PPV mega WTCKL

CITF menambah, pihaknya menyedari berlaku kesesakan pada hari pertama selepas PPV berkenaan kembali beroperasi selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Jelas CITF, keadaan itu antaranya dikesan berpunca daripada tindakan segelintir individu yang tidak mempunyai janji temu mahu 'mencuba nasib' untuk mendapatkan vaksin secara walk-in.

Selain itu, CITF berkata terdapat juga individu yang hadir empat jam awal sebelum masa slot yang ditetapkan.

"Keadaan sesak ini berlaku apabila terdapat ramai yang diberi janji temu telah tiba ke WTCKL lebih awal daripada slot masa yang telah ditetapkan kepada mereka.

"Sebagai contoh, individu dengan janji temu pada jam 6 petang telah tiba seawal jam 2 petang," kata CITF.

PPV di WTCKL memulakan proses vaksinasi secara besar-besaran pada hari ini dengan jumlah janji temu sebanyak 8,100 untuk tempoh masa 9 pagi sehingga 9 malam.