Tindakan seorang individu yang dilihat memukul seorang penghuni orang kelainan upaya (OKU) di sebuah rumah amal di Kajang dengan menggunakan batu-bata telah mendapat kecaman hebat orang ramai.

Menerusi laman sosial Twitter, Ahli Dewan Negara (Wakil OKU) Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkongsi video tersebut untuk tatapan umum.

Beliau juga meluahkan kekecewaan terhadap individu yang memukul serta pihak pengurusan rumah amal tersebut kerana gagal mengawasi keadaan penghuni dengan baik.

“Kamu ingat kamu siapa. Saya mengenali saudara OKU kita yang Cerebral Palsy ini sejak dia berumur empat tahun, dia tidak boleh pertahankan dirinya dan perlu sokongan untuk menjaga dia,” ciapnya.

Tambah Ras Adiba, luluh hatinya apabila melihat situasi sebegini berlaku kepada golongan OKU dan tidak ada yang melindungi mereka ketika itu.

“Kamu biar beliau dibuli sebegini, kamu dah kenapa! Luluh hati saya,” katanya.

Sementara itu, video tersebut berjaya mendapat perhatian orang ramai, dan rata-rata turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan individu itu.

“Ya Allah siapa yang buat ni. Tolong sesiapa yg berkuasa, jauhkan makhluk ni dari yang kurang upaya,” ujar seorang wargamaya.

“Allah.. dia pukul dgn apa tu? Nampak mcm ketul bata. Semoga ada yang cepat ambil tindakan yang patut,” komen seorang wargamaya.

“Nak marah mula-mula but tengok for the second time nampak macam the offender is also an OKU,” kongsi seorang wargamaya.

“Kesianlah tengok pembuli 2021 ni semakin takde otak.. ada yang buli sambil buat live kat facebook, ni pulak buli depan cctv,” luah seorang wargamaya.

“Selain gambar kucing mati atau video bunuh diri, video buli atau buli OKU juga tak patut ada dalam timeline. Boleh trigger saya yang ada adik OKU. Kesian sangat, tak sampai hati,” tegur seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 30,000 tontonan dan 1,200 ulang ciap daripada warga Twitter.