Pemain legenda badminton negara, Cheah Soon Kit berkongsi pandangan mengenai filem Olympic Dream yang mengangkat sukan tersebut sebagai tema utama.

Cheah Soon Kit berkata, filem arahan Don Hoe itu mampu memberi inspirasi kepada pemain badminton dan anak muda.

“Saya percaya filem ini mampu memberi inspirasi kepada pemain dan anak muda. Bagi saya filem ini mempamerkan tentang semangat juang yang tinggi.

“Dan sebagai seorang pemain profesional saya rasa ini sangat penting untuk menunjukkan kepada pemain badminton muda di luar sana bahawa mempunyai matlamat dan impian dan tidak berputus asa akan memberikan kemanisan di penghujung kerja keras.

“Oleh itu, jangan putus asa untuk terus berlatih bersungguh-sungguh, supaya boleh memberi kejohanan untuk negara.

“Bagi pemain muda, filem ini benar-benar memberi inspirasi kepada mereka untuk bergelar juara Olimpik atau juara dunia,” katanya.

Tambah Soon Kit lagi, dia berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Olympic Dream.

“Saya gembira kerana diberi peluang untuk bersama-sama dengan produksi ini walaupun membawa peranan yang kecil

“Selepas berbincang dengan pengarah, saya faham bahawa dia mahu membuat sebuah filem inspirasi untuk sukan badminton, terutamanya Malaysia untuk mendorong anak muda berusaha mencapai impian mereka,” katanya.

Dalam pada itu Soon Kit sempat meninggalkan pesanan buat pemain muda dan mereka yang ingin berjinak-jinak dalam sukan badminton.

“Hanya satu perkataan yang ingin saya kongsikan kepada mereka, tanpa pengorbanan tidak ada kejayaan,” katanya.

Jangan lupa saksikan Cheah Soon Kit bersama legenda badminton negara yang lain seperti Datuk Rashid Sidek dan Ong Ewe Hock bersama bintang badminton Vivian Hoo serta Woon Khe Wei menerusi Olympic Dream.

Olympic Dream kini sedang ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480.

Lagi menarik mengenai Olympic Dream, filem ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada sukan badminton tetapi dipadatkan lagi dengan konflik dan babak dramatik yang mengajak penonton untuk menghayati perjuangan seseorang dalam usaha mencapai impian, di samping babak-babak mendebarkan ibarat menonton perlawanan sebenar.