Episod tiga Projek: Anchor SPM masih ‘hangat diperkatakan sehingga hari ini biarpun telah empat hari ditayangkan.

Selain bercakap mengenai tindakan Aizat (Aedy Ashraf) dan Aaidaa (Daiyan Trisha) mencuri kertas peperiksaan, satu poster yang ditampal di locker asrama budak lelaki juga menjadi tanda tanya.

Apa yang menariknya poster tersebut merupakan poster album Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ke-10 iaitu EMAS.

Untuk makluman, album EMAS dilancarkan pada 2003 yang mana ia merupakan tahun yang sama berlakunya kisah dalam Projek: Anchor SPM.

Namun, apa yang menjadi persoalan netizen, siapakah pemilik poster berkenaan? Siapakah yang meminati Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa TokTi?

Adakah Aizat? Botol atau Hilmi?

“OMG poster Siti Nurhaliza”

“Weh album EMAS tu legend ya zaman sekolah aku dulu”

“Kenangannya dulu budak sekolah tampal-tampal poster, dulu Siti ni jadi idaman semua budak lelaki” tulis beberapa netizen.

Menerusi satu ciapan di Twitter, pengarahnya Razaisyam Rashid telah memberi sedikit bayang mengenai persoalan tersebut.

“Nanti Hilmi akan… ahh spoiler” katanya.

Untuk anda yang tertanya mengenai ‘hint’ tersebut, jangan lupa tonton Projek: Anchor SPM setiap Isnin, jam 9 malam.

Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra setiap Isnin pada jam 9.00 malam.

Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand.