BERITA
'Pak Cik Petai’ Syukur, Isteri Dapat Tajaan Rawat Katarak Mata - “Minta Maaf, Saya Memang Orang Susah…”
Peniaga petai Mohd Noor Saad atau dikenali sebagai "Pak Cik Petai" menerusi video tular di media sosial gembira, selepas mendapat tahu isterinya mendapat tajaan Hospital Columbia Asia bagi menjalani rawatan katarak mata kiri pada 10 April ini.
Syukur dapat bantuan
Menurut Mohd Noor, 67, dia tidak menyangka selepas tular kisah kesusahannya menjual petai dan membuat kerja kampung di Port Dickson bagi mengumpul duit untuk merawat mata isterinya Astiah Yaakob, 63, mendapat perhatian pelbagai pihak hospital swasta sehingga di Putrajaya.
"Terima kasih kepada pihak hospital sudi membantu kesusahan pak cik, saya minta maaf dari hujung rambut ke hujung kaki, saya memang orang susah.
"Saya hanya melakukan kerja kampung untuk mengumpul duit merawat mata isteri saya ini. Saya sendiri juga ada penyakit darah tinggi dan kencing manis," katanya kepada pemberita.
Sementara itu Astiah yang merupakan warga Indonesia berstatus penduduk tetap bersetuju menerima rawatan percuma ditawarkan hospital swasta itu kerana berdekatan dan menjimatkan kos perjalanan.
Ibu kepada dua anak itu berkata dia pernah menjalani rawatan katarak bahagian mata kiri di Hospital Tuanku Ja'afar' (HTJ) pada tujuh tahun lepas dan ketika itu doktor merawat menyarankannya menjalani pembedahan kedua-dua belah mata, namun akibat kekangan kewangan, pihak hospital membantu merawat mata kiri dahulu kerana keadaan lebih serius.
"Doktor ketika itu bersetuju membantu merawat mata kiri ini, selepas melihat daripada keadaan kesihatan saya dan kewangan suami.
“Alhamdullilah keadaan mata baik, namun selepas pembedahan, saya dan suami masih lagi berusaha mencari duit bagi rawatan mata kanan pula," katanya.
Mata kanan perlukan pembedahan segera
Sementara itu Perunding Oftalmologi, Pakar Retina Perubatan dan Uveitis Dr Sangeeta Kuganasan berkata keadaan mata kiri Astiah selepas pembedahan pertama itu dalam keadaan baik, namun mata kanan memerlukan pembedahan segera kerana selaput mata semakin tebal.
Beliau berkata kos rawatan ditanggung pihak hospital antara RM3,800-RM4,000 dan tempoh pembedahan mengambil masa lebih kurang 30 minit.
"Pesakit ini pertama kali datang ke sini untuk rundingan, dia menghidapi masalah katarak pada mata kanan yang mana malap kanta mata di tahap serius," ujarnya.
Dr Sangeeta berharap pembedahan itu akan berjaya dan membantu penglihatan Astiah kembali pulih supaya pesakitnya itu dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna.
Media sebelum ini melaporkan penularan satu video yang memaparkan peniaga petai itu mencampak beberapa petai yang dijualnya ke atas jalan, sebagai protes, kerana dihalang berniaga oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Bagaimanapun perselisihan faham itu dapat diselesaikan secara baik dan Mohd Noor juga menerima sumbangan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebagai ganti rugi petai yang tidak dapat dijual pada hari kejadian itu.
Sumber: AWANI menerusi BERNAMA
Must-Watch Video