Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil mengulas isu panggilan namanya seperti yang tular dibangkitkan oleh segelintir peminat beliau di Twitter.

Kata Siti, panggilan dirinya tidak sepatutnya diperbesarkan dan tidak menjadi masalah seandainya peminat mahu memanggil dengan apa-apa gelaran sekali pun.

"Kalau pasal nak panggil tu pun jadi masalah, susah jugak tu… Takpelah apa-apa pun lah.

"Kak Iti boleh, TokTi boleh. Itu bukan satu masalah yang besar lah kot kan.

"Kadang benda tu lah yang terlalu remeh pun jadi besar. Sebab tu saya tak suka sangat carry perasaan, carry minda saya dalam Twitter punya isu.

"Komen sikit-sikit tu takpe lah… kalau melampau saya senang je zaasss (block)," kata Siti memetik laporan XTRA.

Terdahulu, timbul perbalahan dalam kalangan netizen berhubung panggilan nama TokTi yang kurang disenangi oleh segelintir peminat setia beliau.

Tambah pelantun lagu Kesilapanku Keegoanmu itu, dia tidak mengambil pusing akan kontroversi di platform media sosial Twitter berbanding Instagram.

"Saya kurang berada di Twitter berbanding dengan IG sebab IG ni orang-orang dia lebih memahami dan dia hormat sikit berada di rumah orang.

"Jadi sebab tu saya jarang tahu sikit apa yang terjadi di Twitter. Apabila saya nak upload nak beritahu tentang sesuatu, baru saya masuk.

"Tak adalah hari-hari asyik tengok apa orang cakap pasal saya… sebab tu kadang saya banyak missed kat Twitter punya isu," ujarnya.

Sumber: XTRA