Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal tampil dengan program realiti TV baharu berjudul ‘Luar Biasa’ yang memaparkan kisah dan pengalaman individu hilang upaya yang dapat kembali bekerja setelah mengikuti Program Return To Work (RTW) PERKESO.

Berkonsepkan sesi bual bicara santai dengan unsur sketsa, program realiti 13 episod ini menggandingkan dua selebriti terkenal tanah air, Norman Hakim dan Shiha Zikir sebagai pasangan pengacara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, program RTW PERKESO telah berjaya membantu memulihkan seramai 36,159 individu untuk kembali bekerja dengan selamat setelah mengalami hilang upaya fizikal atau mental akibat kemalangan atau serangan penyakit.

“Program Luar Biasa ini mengisahkan orang yang diinsuranskan oleh PERKESO bangkit daripada bencana dan kesengsaraan dan kini mampu berdikari, malah menyumbang tenaga serta bakti kepada masyarakat.

“Dalam kita berjuang memerangi pandemik COVID-19, PERKESO sekali lagi mengulangi kejayaan untuk menerbitkan program televisyen yang mengisahkan perjalanan individu dalam RTW mengharungi liku-liku kehidupan setelah mengalami musibah, kemalangan atau penyakit,” ujarnya ketika melancarkan program tersebut secara maya pada Selasa.

RTW yang diperkenalkan oleh PERKESO pada 2007 merupakan program pengurusan hilang upaya bagi membantu memulihkan pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat dengan melalui beberapa proses pemulihan fizikal atau latihan.

Sesi perbincangan dalam setiap episod mengetengahkan beberapa topik diskusi yang menarik dan pelbagai bersama barisan tetamu jemputan yang terdiri daripada pakar, selebriti dan juga pengurusan kanan PERKESO.

Program ini turut menyelitkan peranan dan aktiviti yang dijalankan di bawah Program RTW PERKESO selain memberikan maklumat terkini berkaitan skim-skim perlindungan dan inisiatif terbaharu PERKESO kepada penonton.

Tonton program Luar Biasa mulai 4 Jun ini di saluran Astro Prima (105) pada setiap Jumaat, jam 9.00 malam.

Bagi yang terlepas untuk menonton program ini di TV, ia juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi PERKESO selepas tiga hari disiarkan di Astro Prima.