Kebakaran hutan di Los Angeles, Amerika Syarikat memaksa beberapa selebriti terkenal Hollywood meninggalkan kediaman masing-masing.

Antara mangsa yang terjejas ialah penyanyi terkenal Paris Hilton dan Lionel Richie serta bintang drama muzikal Glee, Lea Michele.

Paris Hilton telah berkongsi visual kebakaran besar itu di laman Twitternya dengan kapsyen memuji pasukan bomba atas keberanian memadamkan api besar tersebut.

"Kebakaran ini sangat dahsyat! Rumah saya terpaksa dikosongkan dan haiwan kesayangan saya telah diselamatkan," tulisnya di Twitter awal pagi tadi.


Lea Michele pula dalam entri Twitternya memaklumkan dia tidak sempat berkemas untuk meninggalkan rumahnya.

Dia meluahkan rasa bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan yang sudi menumpangkan rumah mereka kepadanya pada saat-saat genting.

"Moga-moga semuanya yang berada di Los Angeles selamat. Hanya sempat menyelamatkan barang-barang tersayang sahaja," tulis Lea.


Dalam pada itu, Lionel Richie pula terpaksa membatalkan pertunjukannya bagi bantu anggota keluarganya berpindah.

Namun, beliau berjanji akan kembali ke pentas pada hujung minggu ini demi para peminatnya.

"Oleh kerana kebakaran hutan di California dan perlu membantu keluarga saya menyelamatkan diri dan harta benda, saya terpaksa membatalkan persembahan saya malam ini," tulisnya.


Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: E! Online