Seorang juruterbang maut selepas pesawat yang dipandunya untuk meraikan parti mendedahkan jantina anak (gender reveal) terhempas.

Kejadian yang berlaku di Mexico baru-baru ini menjadi tular selepas video kejadian itu mula di muat naik di media sosial.

Difahamkan sepasang suami isteri menyewa pesawat itu untuk mengumumkan jantina bayi mereka.

Menerusi rakaman video yang di muat naik di media sosial, pesawat itu melintas di atas langit dengan mengeluarkan asap berwarna merah jambu menandakan pasangan itu bakal menerima bayi perempuan.

Bagaimanapun malang tidak berbau apabila pesawat yang dipandu juruterbang itu hilang kawalan kerana mengelak beberapa bahagian pokok sebelum terhempas.

Rakaman itu juga turut merakamkan saat sayap kiri pesawat kelihatan terpisah dari fiuslaj ketika ia terbang menjauhi kumpulan orang yang berada di bawah.

Menurut laporan CNN, pihak berkuasa memaklumkan bahawa juruterbang itu meninggal dunia di hospital berikutan nahas itu.

Tiada kecederaan lagi dilaporkan akibat kemalangan itu.

Untuk info, majlis atau parti gender reveal merupakan acara popular bagi masyarakat masa kini kerana dianggap sebagai salah satu cara menyeronokkan untuk memberitahu keluarga dan rakan sama ada mereka akan akan menerima anak lelaki atau perempuan.