Ibu kepada pengarah sensasi Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah Ismail nampaknya masih belum menerima kenyataan bahawa pelakon Ira Kazar merupakan isteri kedua kepada anaknya sekaligus menjadi menantu kepadanya.

Manerusi muat naik di Instagram Stories, Patimah yang juga isteri kepada penerbit Datuk Yusof Haslam menjelaskan dirinya hanya memiliki tiga orang menantu sahaja.

Menantu yang dimaksudkan ialah Nazariah iaitu isteri kepada anak sulungnya, Mohd Faizal, Puteri Sarah Liyana iaitu isteri kepada anak ketiganya, Syamsul dan Aeisyah Zainal iaitu isteri kepada anak keempatnya, Syafiq Yusof.

“Kami (Patimah dan Yusof) hanya ada tiga orang menantu yang hebat-hebat.

“Cukuplah Nazariah Harun, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dan Aeisyah Ustaz Zainal,” tulisnya.

Hantaran tersebut turut mendapat perhatian ramai apabila nama Ira Kazar tidak dinyatakan bersama dalam senarai menantu Patimah yang lain.

Konflik rumah tangga antara Syamsul dan Puteri Sarah dikatakan sudah berlarutan sejak empat tahun lalu dengan kehadiran individu ketiga iaitu Ira Kazar.

Kemuncaknya apabila pengarah filem Munafik itu akhirnya membuat pendedahan pada 6

Januari lalu dengan menyatakan dia sudah menikahi isteri keduanya, Ira Kazar di Thailand, berwalikan bapa Ira Kazar iaitu pelakon veteran Kazar Saisi.

Enggan hidup bermadu, Puteri Sarah nekad memfailkan perceraian dengan Syamsul pada 16 Januari lalu dengan tarikh sebutan kes permohonan cerai bakal berlangsung pada 7 Mac depan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk info, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.