Jualan tiket untuk tayangan awal filem aksi komedi terhebat Polis Evo 3 pada Rabu berjaya menduduki tempat tertinggi di Golden Screen Cinema (GSC) setakat 25 Mei, 11.30 pagi.

Bukan itu sahaja, filem arahan pengarah terkenal Syafiq Yusof ini juga telah menewaskan beberapa filem Hollywood popular iaitu Fast X dan Guardian Of The Galaxy Vol.3.

Kedudukan Polis Evo 3 di tangga pertama dalam senarai Top 10 GSC bermula hari ini.

Malah, kebanyakan waktu tayangan di pawagam juga sudah dipenuhi dengan penonton yang sememangnya tidak sabar untuk menonton filem aksi lakonan Zizan Razak dan Shahiezy Sam.

Hanya penonton terawal membeli tiket dapat menonton tayangan awal Polis Evo 3 pada semalam, manakala tayangan untuk seluruh pawagam bermula pada hari ini.

Filem aksi komedi arahan Syafiq Yusof itu terus mengekalkan pameran utama iaitu Zizan Razak yang membawakan watak Inspektor Sani dan Shaheizy Sam yang membawa watak Inspektor Khai.

Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi yang lebih besar dan mencabar! #JagaJagaBoh.

Selain Zizan dan Sam, filem itu turut dibintangi oleh Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Fauzi Nawawi, Farah Ali Khan, Nora Danish, Eyka Farhana, Fezrul Khan dan ramai lagi.

Bahang Polis Evo 3 kian terasa apatah lagi lagu runut bunyi (OST) berjudul Ayuh yang dinyanyikan oleh Malique, Ernie Zakri dan penyanyi rap Aman Ra serta Kmy Kmo menjadi siulan.