Hiburan
Peguam Linda Hashim Bakal Serah Notis Tuntutan Hadir Ke Mahkamah Terhadap Beego, Proses Cerai Tangguh 6 Mac Depan
Proses sebutan pertama kes penceraian melibatkan pasangan pelakon Linda Hashim dan Beego terpaksa ditangguhkan ke 6 Mac depan susulan ketidakhadiran Beego ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi Khamis.
Perkara tersebut dimaklumkan peguam syarie mewakili Linda iaitu Nurul Fadzilah Kamaluddin berikutan pihak mahkamah tidak dapat menyerahkan notis tuntutan kehadiran kepada Beego
“Sebelum ini kami sudah dimaklumkan serahan (notis) sudah dibuat tetapi tidak sempurna (tidak berjaya).
“Anak guam saya sudah mengemukakan tuntutan cerai pada 17 Januari dan hari ini sepatutnya sebutan pertama kes.
“Jadi kes hari ini ditangguh kepada sebutan kedua pada 6 Mac depan,” katanya kepada Gempak.
Fadzilah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Oleh itu, mahkamah menyerahkan tanggungjawab untuk memaklumkan defendan iaitu Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, berkenaan tarikh sebutan kedua.
“Seharusnya penyerahan dokumen (makluman kepada Beego) dibuat mahkamah.
“Tetapi disebabkan penyerahan pertama itu tidak sempurna hingga menyebabkan defendan tidak dapat hadir, satu arahan kepada peguam plaintif iaitu kami untuk serahakan notis ini secara sendiri kepada Beego,” ujarnya.
Bagi Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, dia berlapang dada berdepan dengan penangguhan itu namun berharap urusannya dilancarkan.
“Kita cuma merancang walaupun tidak dapat seperti diharapkan.
“Saya harap proses berjalan dengan baik dan dapat segera disekrsaikan,” ujar Linda.
Beego menerusi perkongsian di Instagram (IG) mendedahkan tidak tahu menahu mengenai prosiding sebutan pertama kes perceraian bersama isterinya.
Untuk info, Linda menfailkan cerai terhadap Beego pada 17 Januari lalu dengan alasan tidak mempunyai persefahaman.
Terdahulu, Linda dan Beego pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023, namun rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah pada 9 April tahun sama.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.
Must-Watch Video