Defendan keempat dan kelima yang disaman oleh penyanyi Siti Nordiana iaitu Sam Musyadzafar Samin (Sam Samin) dan Razidah Ahmad Senusi (Aida G) telah melantik peguam Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors minggu ini bagi membantu mereka menyelesaikan kes saman fitnah siber tersebut.

Nurul Hafidzah Hassan berkata firma beliau telah memfailkan kehadiran bagi pihak kedua-dua defendan pada 17 Ogos dan serahan telah pun dibuat pada peguamcara plaintif pada hari yang sama.

Kenyataan yang anak guam berkemungkinan muflis sekiranya gagal untuk memasukkan kehadiran beserta pernyataan pembelaan selewat-lewatnya pada 17 Ogos adalah kenyataan yang salah.

Peguam tersebut dilantik oleh defendan-defendan sebagai peguambela pada 16 Ogos lepas untuk menasihati dan mengambil tindakan undang-undang yang perlu.

"Kedua anak-anak guam menafikan segala dakwaan yang telah dikemukakan oleh pihak plaintif.

"Dakwaan yang diperihalkan oleh pihak plaintif adalah tidak tepat. Anak-anak guam menyangkal dakwaan yang mereka telah memfitnah plaintif dan pihak plaintif tidak berhak menuntut sebarang pampasan atau ganti rugi ke atas anak guam.

"Anak guam berpendapat bahawa semua dakwaan yang telah dinyatakan adalah palsu dan percaya bahawa saman ini adalah satu bentuk ancaman dan ugutan undang-undang ke atas mereka," tambah Nurul Hafidzah menerusi kenyataan kepada Gempak.

Peguam kepada pihak defendan itu juga menyatakan yang tiada sebarang kenyataan atau percakapan telah dilakukan dengan niat jahat dan saman yang dibuat oleh plaintif tidak memenuhi standard undang-undang bagi kes saman fitnah.

BACA: Peguam Siti Nordiana Terima Memorandum Kehadiran 5 Sekawan, Semua Sudah Diwakili Peguam

Nurul Hafidzah yakin anak guam beliau mempunyai pembelaan yang baik. Beliau dibantu oleh peguam Zeti Zulkifli.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes (e-Review).