Gara-gara tidak berpuas hati pelajar lain berkawan dengan 'awek' atau kekasihnya, seorang pelajar berusia 15 tahun dipukul sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di kawasan Taman Permainan di Taman Bistari Indah, Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihak polis menerima laporan polis dari mangsa pada jam 4.09 petang, semalam.

Katanya kejadian dipercayai berlaku pada 9 Ogos lalu, pada lebih kurang jam 3 petang.

"Pengadu melaporkan dia telah dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian hadapan badan, belakang badan, peha, perut dan lengan kiri serta kanan oleh enam remaja lelaki termasuk seorang remaja warga asing berusia 14 hingga 17 tahun.

"Mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian kiri dan kanan, bengkak di peha dan mengalami kesakitan seluruh badan.

"Polis menahan tujuh remaja terbabit pada hari sama laporan polis dibuat, lebih kurang jam 5.30 petang hingga 9.34 malam.

"Kesemua suspek ditahan di enam lokasi berbeza sekitar kawasan Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Raub, polis turut merampas sehelai baju jersi warna biru, tiga helai baju lengan panjang berwarna biru helap, sehelai kemaja-T lengan pendek berwarna hitam dan sebuah telefon bimbit.

Katanya kes disiasat dibawah seksyen 147 kanun keseksaan.

"Kejadian itu dipercayai berpunca daripada seorang suspek utama yang juga berusia 15 tahun tidak berpuas hati mangsa berkawan dengan teman wanitanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline IPD JBS di talian 07-2182323," katanya.

Dalam video tular di media sosial Facebook, berdurasi 59 saat memaparkan seorang pelajar dipukul, disepak dan ditendang sekumpulan pelajar lain berulang kali.

Sumber: Awani