Pentas akhir Akademi Qurra’ 2024 menyaksikan Tilmiz Amnan, 21, diangkat sebagai juara.

Kemenangan itu sekaligus melayakkan Amnan atau nama sebenarnya Muhammad Amnan Muhammad Sani membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 beserta trofi.

Amnan yang juga merupakan pelajar di Universiti Teknologi Mara Sarawak (UITM) berkata akan menggunakan wang kemenangan sebaiknya.

“Kalau nak kata kumpul duit kahwin pun saya masih muda.

“Alhamdulillah, ini mungkin rezeki Allah nak bagi. Saya akan guna duit untuk perbelanjaan harian,” katanya berseloroh.

Sementara itu, tempat kedua pula dinobatkan kepada Tilmizah Syahira atau Nur Syahira Saiful Adli yang membawa pulang RM10,000 manakala Tilmizah Sofea mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Bagaimanapun, Tilmiz Luqman dan Tilmizah Sholihah meraih hadiah sagu hati dengan masing-masing membawa pulang RM1,000.

Dalam pada itu, Mudarrisah Nadia Hashim selaku tenaga pengajar memenangi Anugerah Mudarris Terbaik sekali gus mendapat hadiah wang tunai RM3,000.

Bagi Anugerah Alunan Terindah pula diberikan kepada Tilmizah Syahira dan memenangi hadiah wang tunai RM500.

Akademi Qurra’ 2024 disiarkan secara langsung dari Studio Pusat Penyiaran TV AlHijrah, pada Sabtu.

Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.

Program yang ditayangkan pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta juri jemputan, Erma Fatima.