Laman Utama

"Pelakon Pengsan Tersembam, Ada Kena Tarik Kaki" - Pengarah Khaenak: Serangan Pocong Dedah Gangguan Di Set Penggambaran

gempak
Asraf Aided
02/11/2021
15:20 MYT
Sponsor Banner
"Pelakon Pengsan Tersembam, Ada Kena Tarik Kaki" - Pengarah Khaenak: Serangan Pocong Dedah Gangguan Di Set Penggambaran
Selepas sambutan luar jangkaan diterima filem seram komedi Khaenak 1 dan 2 yang ditayangkan di saluran YouTube tahun lalu, penerbit filem berkenaan, KCTV Network & Broadcasting Sdn Bhd sekali lagi terpanggil untuk menghiburkan orang ramai dengan buah tangan ketiganya iaitu Khaenak: Serangan Pocong.
Filem ini dijangka akan lebih menghiburkan dengan garapan dan jalan cerita yang lebih kreatif serta menarik. Pengarahnya, Emma Kasmuri berkata, berbeza dengan dua filem sebelum ini, filem ketiga ini akan ditayangkan di saluran Astro First tidak lama lagi.
“Kalau diikutkan judul filem ini adalah Khaenak 3, tetapi bila kami kemukakan kepada Astro First, saya tak sangka mereka berminat. Kemudian kami gantikan angka 3 itu dan menggunakan judul Khaenak: Serangan Pocong.
"Ini adalah filem sulung kami yang akan ditayangkan di Astro First," katanya.
Sebelum ini, Khaenak dikenali dengan watak utamanya hantu pontianak yang terkenal dengan panggilan Meknak tetapi kali ini Khaenak membawa kelainan dengan menampilkan watak hantu pocong bagi menggantikan hantu golek yang sinonim dengan emas, perhiasan yang digilai wanita Kelantan.
Khaenak: Serangan Pocong berlatarbelakangkan sebuah kampung di pinggir bandar, di mana pelbagai kejadian mistik telah berlaku di kampung berkenaan, tetapi berjaya diselesaikan dengan kesepakatan penduduk kampung dipimpin oleh Tok Penghulu.
Ditanya tentang kejadian seram ketika penggambaran, Emma menceritakan terdapat beberapa perkara pelik yang berlaku.
“Ketika hari kedua penggambaran, sewaktu babak buka ikatan tali pocong dilakukan ketika pukul 12.00 tengah malam, pelakon yang membawakan watak pocong itu tiba-tiba pengsan.
“Saya ada di lokasi kejadian ketika itu, dan melihat sendiri apa yang berlaku. Pelakon terlibat pengsan sehingga muka dia tersembam ke tanah,” ujarnya.
Menurutnya, pelakon berkenaan dibawa ke hospital dan pihaknya lega apabila tidak ada kecederaan serius berlaku terhadap pelakon berkenaan, bagaimanapun ia terpaksa digantikan dengan pelakon lain.
“Sebenarnya, sebelum kejadian itu, pelakon utama iaitu Apak ada mengalami kejadian aneh. Ia berlaku ketika babak menunggu pocong atas motor, Apak terasa seolah ada yang menarik kakinya.. Apabila penggambaran selesai, barulah dia menceritakan tentang apa yang telah berlaku,” ujarnya.
Jelasnya, kejadian-kejadian sebegitu tidak pernah dilalui ketika penggambaran dua filem sebelumnya dan ia pertama kali berlaku dalam filem kali ini.
Khaenak: Serangan Pocong dibintangi oleh Apak Harry Khalifah, Diana Ezety, Along PM, Hushairi Husain dan ramai lagi.
Sebelum ini, Khaenak 1 mendapat tontonan sebanyak 1.3 juta dan Khaenak 2 pula sebanyak 1.1 juta di saluran YouTube KCTV Production.
Jangan lupa saksikan Khaenak: Serangan Pocong di Astro First (saluran 480) bermula 11 November ini!
***Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak! Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live